Meganya Final GV10, penuh kejutan

PENUH debaran dan sengit! Elemen tersebut pastinya menghantui peminat setia program All Stars Gegar Vaganza (GV10) sepanjang menanti konsert kemuncak yang berlangsung esok di Axiata Arena, Bukit Jalil tepat pukul 9 malam esok.

Bertepatan dengan nama program, Astro membuat kejutan dengan membariskan lapan finalis yang tiada seorang pun tersingkir pada peringkat separuh akhir Ahad lalu.

Keputusan sebegitu julung kali berlaku memandangkan sebelum ini hanya enam atau tujuh peserta dibawa ke peringkat akhir. Finalis tahun ini, paling ramai dalam sejarah GV.

Pada pertandingan akhir malam esok, pentas akan digegarkan dengan persembahan lapan penyanyi yang bakal merebut gelaran juara iaitu Naqiu, Hady Mirza, Liza Hanim, Tomok, Jaclyn Victor, Nikki Palikat, Azharina dan Siti Nordiana bagi merebut hadiah RM200,000.

MALAM kemuncak GV10 bakal menyaksikan barisan finalis berduet bersama penyanyi hebat tanah air dan Indonesia.

Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari juga tidak menolak andaian bahawa pentas akhir GV10 boleh diibaratkan konsert mega yang membariskan belasan penyanyi ternama tanah air dan dari Indonesia.

Buktinya, beberapa penyanyi popular Indonesia bakal berpadu suara dalam persembahan duet iaitu Cakra Khan, Ifan Seventen dan Armand Maulana dari kumpulan Gigi.

Konsert mega? Boleh dikatakan begitu. Kami melakukannya kerana ingin memberi kepuasan dan rasa berbaloi kepada pembeli tiket.

“Ini kali pertama final GV diadakan di pentas lebih besar, ramai dan tiket juga laris terjual,” katanya.

Astro juga menjanjikan sesuatu yang istimewa dan penuh kejutan pada malam tersebut.

GV10 ingin memberi pengalaman yang luar biasa dan tidak pernah dilakukan lagi sebelum ini.

“Kalau tanya siapa lagi penyanyi jemputan pada malam tersebut, masih ada kejutan, nantikan sahaja malam itu,” ujarnya yang tidak menolak perbelanjaan final GV10 menelan belanja jutaan ringgit

Datuk Ramli MS memberi bayangan Ratu Rock negara, Ella akan tampil sebagai juri pentas final GV10.

Menghangatkan lagi kemegahan konsert final, Ketua Juri GV10, Datuk Ramli MS berkata, persembahan setiap peserta akan diiringi 50 pemuzik orkestra bawah pimpinannya pada malam tersebut.

“Selain itu, pihak Astro yang membuat keputusan untuk membawa kesemua lapan orang penyanyi ke final.

Konsert berlangsung selama tiga jam, jadi memang memerlukan kandungan yang bagus dan berbaloi untuk pembeli tiket,” tuturnya.

Mengulas pemilihan penyanyi duet pada malam tersebut, perihal berkenaan merupakan hasil perbincangan bersama dengan pihak produksi.

“Banyak faktor diambil kira termasuk pemilihan lagu milik mereka.

Lagu duet untuk final nanti, ‘key’ lagu sudah dikunci, tidak boleh tukar sebab mengikut penyanyi asal,” katanya lagi yang turut memberi bayangan kemunculan, Ratu Rock negara, Ella akan duduk di kerusi juri jemputan.

 

Setiap finalis mempunyai kekuatan tersendiri sekali gus membuatkan persaingan kali ini cukup sengit.

Sukar untuk meramalkan pemilik gelaran juara kali ini, itu antara respons yang diberikan netizen apabila melihat barisan finalis GV10.

Bagi mereka, kesemua finalis memiliki kehebatan dan ‘taring’ sendiri setiap kali membuat persembahan.

Namun, ramalan menjadi sukar kerana setiap peserta tidak memberi konsistensi yang baik setiap minggu.

Ada minggu menjadi juara tetapi adakalanya berada di tangga tercorot.

Bagaimanapun, Naqiu, Hady dan Liza antara diramalkan merebut kedudukan tiga tangga teratas.

Perkara itu diperkuatkan lagi dengan melihat pemilihan lagu serta keserasian mereka dengan penyanyi duet.

Mengimbau semula, Suki Low, Cliff Umar, Datuk Aishah, Ayai Illusi, Zamani, Ezad Lazim, Noryn Aziz dan Aliff Aziz merupakan peserta yang sudah meninggalkan GV10.

Rancangan popular tersebut menyaksikan kesemua bintang diadili juri profesional terdiri daripada Ramli, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat. Program berkenaan dihoskan Nabil dan Jihan Muse. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok