Mahligai cinta sensasi BCL, Tiko

SELAMA tiga tahun, jiwa penyanyi bernama Bunga Citra Lestari berselubung kelam selepas suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair dijemput Ilahi pada tanggal 18 Februari 2020.

Pemergian lelaki yang menjadi teman hidupnya selama 12 tahun itu menutup pintu hati wanita yang mesra disapa BCL itu untuk mencari pengganti.

Namun, siapa manusia untuk menolak kuasa jodoh. Kehadiran seorang lelaki bernama Tiko Aryawardhana berjaya menyembuhkan luka di hatinya, sekali gus menerbitkan kembali rasa ingin dimiliki sepenuhnya sekali lagi.

Tanggal 2 Disember lalu, resort mewah, Amankila Resort, Bali menjadi saksi dua jiwa disatukan dalam ikatan yang sah.

Anggun mengenakan persalinan adat Jawa, kedua-dua mempelai dirai keluarga dan kenalan terdekat dalam majlis penuh kemewahan dan istiadat tradisional.

Bagaimanapun, belum sehari bergelar suami isteri, majlis pernikahan yang pada awalnya menuai pujian ramai itu bertukar menjadi kritikan apabila majlis resepsi diadakan pada sebelah malamnya.

Hilang segala adat tradisi ketimuran yang dijunjung apabila si pengantin diraikan dengan majlis ala Barat, sekali gus melahirkan rasa kesal peminat terhadap BCL dan Tiko.

Majlis resepsi BCL dan Tiko yang mengundang kritikan ramai peminat dan pemerhati.

Selain gaun pengantin putih dengan corak bunga 3D yang digayakan BCL dikatakan terlalu seksi, tular video yang mendakwa pasangan terbabit berpesta minuman keras.

Gara-gara video berkenaan, ramai menyindir BCL dan Tiko sebagai pasangan sekufu atau sama padan apabila didakwa masih mengamalkan gaya hidup bebas walaupun sudah mencecah usia 40-an.

Ruangan komen dibanjiri luahan peminat BCL yang seakan-akan kecewa dengan lelaki pilihannya sehingga ada yang membandingkan keperibadian Tiko dengan Allahyarham Ashraf Sinclair.

“Masya-Allah, kenapa ini pilihan BCL, dah dapat agak pilihan kali ini kurangnya,” tulis seorang netizen.
Pada komen sama, individu tersebut juga mendakwa wajah lelaki terbabit seperti sedang mabuk.

“Kenapa sampai mabuk suaminya, tengok muka pun boleh tahu. Carilah jalan yang benar, dah akhir zaman,” kata seorang lagi peminatnya kesal.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok