Magis ‘penyanyi gantian’ AJL

NAMA penyanyi Ernie Zakri baru-baru ini panas dengan isu tidak menyanyikan lagu Astana di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38).

Sebelum diumumkan dia mendapat hak semula untuk menyanyikan lagu itu sendiri pada hari kedua SFMM38 yang berlangsung semalam, ramai peminat kecewa dan menuntut penjelasan daripada label Rocketfuel Entertainment yang pernah menaungi penyanyi itu.

Ini bukan kali pertama tempat Ernie diganti dengan penyanyi lain. Pada AJL36, suaminya, Syamel menggantikan dirinya mendendangkan lagu Boneka kerana penyanyi itu masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak pertama.

Malah, pada SFMM37 lagu duetnya bersama Hafiz Suip iaitu Berakhirlah Pencarianku turut digantikan penyanyi lain.

Gala minggu ini merangkumkan beberapa kisah ‘pemain simpanan’ yang berdepan situasi sama.

Aizat Amdan ganti Yuna

Menerusi AJL27 penyanyi Aizat Amdan menggantikan Yuna mendendangkan lagu Terukir Di Bintang selepas penyanyi antarabangsa itu terpaksa memberikan komitmen dengan proses rakaman albumnya di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Meskipun sekadar penyanyi gantian, Aizat mencipta sejarah apabila berjaya menobatkan lagu ciptaan Yuna itu selaku juara keseluruhan AJL27.

Bob Yusof ganti Siti Nurhaliza

Penyanyi bersuara lunak Bob Yusof atau dikenali sebagai Bob turut pernah menggantikan penyanyi kesayangan ramai Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Anta Permana di pentas AJL34.

Pencipta lagu tersebut, Hael Husaini dan Ezra Kong serta penyanyi asalnya, Siti sebulat suara memilih Bob untuk menyanyikan lagu berkenaan.

Bahkan Siti turut membuat kejutan apabila muncul pada akhir persembahan Bob. Lagu Anta Permana berjaya mendapat tempat ketiga dalam AJL34.

Caliph Buskers ganti Aweera

Populariti kumpulan Caliph Buskers mendadak naik gara-gara tindakan ketua kumpulan Mojo iaitu Edry Abdul Halim memilih vokalis Azmi Saat untuk menggantikan Aweera pada pentas AJL29.

Kemunculan Caliph Buskers mendendangkan lagu Romancinta dengan begitu baik memukau penonton dan mencetuskan fenomena tersendiri.

Ramai kagum dengan bakat anggota Caliph Buskers itu meskipun mereka merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah penglihatan.

Romancinta menang trofi kategori Persembahan Terbaik dalam AJL29.

Azmi Saat ganti Faizal Tahir

Selepas berjaya dengan dua persembahan di pentas AJL iaitu menerusi lagu Romancinta pada AJL27 dan Hanya Namamu (AJL30), pada edisi ke-32, Azmi mencipta sejarah apabila tampil solo untuk menggantikan Faizal Tahir.

Menggalas tanggungjawab menyanyikan lagu Sejati dengan baik, Azmi berjaya menobatkan karya ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan itu di tempat kedua AJL32.

RJ ganti Malique

Penyanyi rap dan komposer terkenal Malique sepatutnya berduet dengan penyanyi Black menerusi lagu popular Teman Pengganti yang layak ke AJL27.

Namun, Malique yang tidak pernah muncul dalam mana-mana majlis hiburan selepas tidak lagi bersama Too Phat memilih Helmy Hamdan atau terkenal dengan panggilan Rakyat Jelata atau RJ sebagai pengantinya.

Lagu Teman Pengganti berjaya memenangi Persembahan Terbaik pada AJL27. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok