MagiK singkap emosi gadis OKU pendengaran

BERDASARKAN judul sahaja sudah dapat digambarkan unsur simbolisme yang ingin disampaikan pasangan suami isteri, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka dalam menterjemah filem magiK.

Pengarah dan penerbit asal Jepun itu berkata, karya tersebut bukan sekadar menyingkap kisah gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan kelip-kelip, malah sebagai medium untuk penonton mendekati golongan istimewa ini.

“Idea menghasilkan magiK tercetus apabila minat kami disatukan iaitu hubungan isteri, Bea dengan komuniti kelainan upaya (OKU) pendengaran dengan kecenderungan saya terhadap alam semula jadi.

“Dua unsur ini digabungkan bagi menonjolkan penceritaan berkenaan situasi dihadapi gadis kecil bermasalah pendengaran yang komunikasi dengan kelip-kelip. Itu yang kami gambarkan.

“Garapan itu kemudian kami letakkan dalam ‘storyboard’ agar lebih jelas lagi mengenai susunan plot serta sub-plot seakan-akan penceritaan sebuah buku,” katanya selepas tayangan gala filem magiK, baru-baru ini.

Dekat dengan jiwa

Bea pula berkata, demi merealisasikan filem itu, mereka mengambil masa selama setahun untuk menyediakan skrip sehingga selesai penggambaran.

“Kami berjaya menyempurnakan penggambaran dalam tempoh 30 hari tanpa hari tambahan pada tahun lalu dengan komitmen seluruh pasukan terutama pelakon.

“Magik adalah satu projek yang dekat dengan jiwa kami kerana sudah lama mengimpikan filem seumpama itu sejak bertahun-tahun lalu.

“Namun ketika awal dulu saya tak tahu nak kongsi kisah apa, kemudian Tanaka tampil dengan idea menarik selepas kami ke Kuala Selangor melihat kelip-kelip.

“Jadi kami gabungkan tema masalah pendengaran dan kelip-kelip selain memilih Kuala Selangor disebabkan itu satu-satunya lokasi yang tepat dalam menterjemah kisah ini,” ujarnya.

Tayangan khas

Bea yang juga bekas guru pendidikan khas untuk OKU pendengaran selama 15 tahun berkata, berpeluang mendekati penonton sasaran sehingga ke tujuh lokasi di beberapa negeri adalah satu kepuasan.

“Kami mahu menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar terutama bagi komuniti masalah pendengaran supaya dapat menonton filem ini.

“Versi awal sudah ditayangkan kepada beberapa kelompok penonton di seluruh negara termasuk menerusi wayang pacak pada September dan Oktober lalu,” katanya.

ANTARA barisan pelakon yang hadir pada malam tayangan gala MagiK baru-baru ini.

Katanya lagi, tujuan tayangan khas itu adalah bagi menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar termasuk golongan bermasalah pendengaran supaya dapat menonton filem berkenaan.

“Versi yang ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi ‘closed caption’ yang memudahkan penonton komuniti OKU pendengaran memahami penceritaan.

“Kami berterima kasih kepada PORT Ipoh yang menaja tayangan di Ipoh, Perak untuk dua hari dan menjemput sekolah pendidikan khas sekitar Ipoh dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Perak.

“Pengalaman melihat konsep tayangan wayang pacak pada 2017 mendorong kami mengadakan tayangan khas menerusi road trip dengan konsep wayang pacak.

“Kami amat teruja berinteraksi secara langsung dengan penonton yang hadir pada tayangan khas berkenaan,” katanya.

Filem genre drama dan fantasi yang ditayangkan di pawagam sejak 30 November lalu itu membariskan Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

MagiK memaparkan kisah gadis pekak berusia tujuh tahun, Kit  yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip bersama ibu bapanya.

Bersama keinginan ibu yang mahu dia mempelajari bahasa isyarat selain kerisauan bapanya berdepan isu pembinaan di kawasan kelip-kelip, tiga beranak itu hakikatnya bergelut dengan masalah dalaman.

Namun, semuanya mula berubah apabila kanak-kanak terbabit bertemu dengan kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya.

MagiK mula ditayangkan bermula 30 November lalu. 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok