M. Nasir kembali bersaing SFMM, pertembungan dua generasi

SELEPAS lebih sedekad, komposer prolifik Datuk M. Nasir kembali bertarung di Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM38) yang bakal memulakan cabaran pada 15 Disember ini.

Pencipta yang pernah menjulang empat trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) itu mempertaruhkan lagu
Menyantun Kasih nyanyian Siti Nordiana bersaing dengan 29 lagu lain bagi merebut tempat ke pentas akhir 3 Mac 2024.

Penerbit Eksekutifnya, Muhd. Suffian Isa berkata, kemaraan komposer legenda seperti M. Nasir memberi nilai tambah kepada prestij pertandingan yang sememangnya dinantikan pemerhati muzik tanah air.

“Melihat senarai lagu membabitkan komposer, penulis lirik serta penyanyi bagi edisi ke-38 ini kita andaikan persaingan juga sengit seperti musim terdahulu.

Namun, kehadiran komposer otai seperti M. Nasir kita umpamakan sebagai bonus, begitu juga dengan Edry Abdul Halim bersama Korbankan Kita nyanyian kumpulannya Mojo.

“Penyanyi pula kita boleh nampak kemaraan artis senior iaitu Ziana Zain, Liza Hanim dan Datin Alyah yang tentu sahaja menyerlahkan persaingan vokal, sekali gus menyaksikan pertembungan orang lama dan baharu,” katanya selepas pengumuman 30 lagu ke SFMM38, hari ini.

Kali terakhir komposer serta penyanyi bergelar sifu itu membawa pulang trofi AJL adalah pada 2011 menerusi Awan Nano yang disampaikan penyanyi Hafiz Suip.

Sementara itu, majlis sama mengumumkan penguasaan komposer berusia 29 tahun bersama lima lagu iaitu, Iqie Hugh yang ada antaranya berkongsi ilham dengan pencipta senior, Omar K.

Antara gubahan mereka adalah Ilusi (Marsha Milan ft Hazama) dan Tusuk (Shiha Zikir), selain itu adalah kolaborasi bersama John Jeeves dan Firdaus Rahmat bagi lagu Waktu duet Hasif Upin dengan Ziana Zain.

Bagi calon penyanyi pula, Khai Bahar mara ke SFMM38 dengan bergaya bersama tiga dendangan, Oh! Wanita serta duet Kaulah Syurga nyanyian bersama Lia Aziz dan Selagi Ku Ada (Nabila Razali).

Manakala tiga penyanyi lain yang mempertaruhkan dua lagu adalah Shiha Zikir (Tusuk dan Kalam), Marsha Milan (Ilusi dan Darah) serta Hagiem Rusli (Aku Dan Perasaan serta Di Sebalik Rahsia).

Selain Hasif yang menjadi teman gandingan Ziana, penyanyi seperti Elica Paujin, Aisha Retno dan De Fam antara yang pertama kali mendapat pencalonan dalam SFMM.

Juara edisi Juara Lagu ke-37, Aina Abdul turut bertandingan dengan mempertaruhkan lagu Jangan Mati Rasa Itu yang juga ciptaannya sendiri.

Lagu-lagu yang layak ke peringkat separuh akhir nanti akan dipersembahkan secara langsung di TV3 pada 15, 16 dan 17 Disember ini.

SFMM38 yang dikendalikan Izzue Islam dan Fiza Frizzy bakal dimeriahkan dengan aksi penyanyi jemputan termasuk Noraniza Idris (episod pertama), Akim & The Majistret (episod kedua) serta Search (episod ketiga).

Peminat boleh mengundi lagu pilihan melalui Undian Lagu Pilihan Alha Alfa selaku penaja utama dengan mengimbar kod QR yang tertera sepanjang tiga hari sewaktu siaran langsung.

Berikut adalah senarai penuh lagu yang bakal berentap dalam SFMM38.

  1. Inilah Jalannya – Masdo
  2. Oh! Wanita – Khai Bahar
  3. Waktu – Hasif & Ziana Zain
  4. Kucuma – Wani Hasrita & Datuk Jamal Abdillah
  5. Kaulah Syurga – Khai Bahar & Lia Aziz
  6. Tusuk – Shiha Zikir
  7. Hasrat – Amir Jahari
  8. Ilusi – Marsha Milan & Hazami
  9. Jangan Mati Rasa Itu – Aina Abdul
  10. Bahagia Milik Kita – Syamel
  11. Racun – Elica Paujin & Dem Lepak Boyz
  12. Korbankan Kita – Mojo
  13. Kamu Kamu – Wani Karie
  14. Alah Bisa – Amira Othman & Putera Muhammad
  15. Astana – Ernie Zakri
  16. Cinta Hanya Buatan – Muna Shahirah & Afleg Shazwan
  17. Cinta Sahabiyah – Datin Alyah
  18. Menyantun Kasih – Siti Nordiana
  19. Sejuta Maaf – Liza Hanim
  20. Sutera – Aisha Retno
  21. Kalam – Shiha Zikir
  22. Dua Darjat – Black Hanifah
  23. Santai – Faizal Tahir
  24. Budi – Sufian Suhaimi ft Luca Sicta dan Kmy Kimo
  25. Berubah – Defam
  26. Selagi Ku Ada – Khai Bahar & Nabila Razali
  27. Bintang – Hael Husaini
  28. Darah – Marsha Milan
  29. Aku Dan Perasaan – Haqiem Rusli
  30. Disebalik Rahsia – Haqiem Rusli – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok