BAKAL disatukan buat julung kalinya dalam konsert Sifu dan Aku pada 3 Februari 2024, M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed tidak keberatan mengimbas detik awal perkenalan dengan Hattan lebih tiga dekad lalu.
Menurut maestro terkenal itu, Hattan individu yang bersungguh-sungguh mahu berada dalam industri muzik.
“Industri muzik ini ada dua tiga jenis; satu, jadi pemuzik dan menyanyi di kelab tetapi, menjadi artis rakaman ini adalah satu cabang yang lain. Yang kedua itu buat album dan termasuklah menyanyi di pentas. Bukan menyanyi di kelab apa semua.
Zaman kami dulu memang trend orang buat band. Masuk awal 80-an, band-band rock yang menjadi tumpuan. Dalam 10 tahun itu, memang semua orang nak jadi rockers. 10 tahun kemudian, Hattan muncul sebagai penyanyi solo.
“Sebelum itu, dia pun ada buat band bernama FRU, namun kerjaya solo dia yang paling membekas. Berkat kesungguhan, sampai sekarang Hattan masih berada dalam industri,” ujarnya sebagai mukadimah bicara kepada HibGlam, baru-baru ini.
Berbeza dengan M. Nasir, Hattan lebih mendasari saat pertama kali bertemu legenda muzik terbabit. Katanya, dia bertemu dengan figura yang disapa ramai sebagai Sifu itu di sebuah kedai burger di Bangsar.
“Saya cakap dengan beliau yang saya memang nak jadi penyanyi. Anda tahu apa dia jawab? Dia jawab: ‘Kau bagus ke?’.
Saya dengan keadaan terkejut beruk terus jawab: ‘Bagus’. Sebenarnya waktu itu tak tahu nak jawab apa sebab tengah panik. Kalau saya cakap tak bagus, takut nanti dia tak nak ambil saya pula (ketawa). Seingat saya pertama kali jumpa beliau tahun 1986.
“Album dengan FRU dulu buat dengan syarikat milik biras M. Nasir iaitu S. Amin Shahab. Satu album sahaja, selepas itu saya tinggalkan band dan bina kerjaya solo yang kebanyakan masa bersama M. Nasir,” cerita Hattan yang pernah menjadi pengurus pentas konsert mega pertama M. Nasir di Stadium Negara pada 1994.
Beralih kepada konsert Sifu Dan AKu yang bakal berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, M. Nasir menganggapnya sebagai cabaran memandangkan hubungan dengan Hattan sudah lama terbina.
Dia menyerlah bakatnya selepas menyanyikan lagu-lagu saya dan kiranya menjadi anak buah saya dalam penerbitan dunia rakaman.
“Selepas sekian lama bekerjasama dengan Hattan, kali ini kami berkongsi pentas yang penonton akan melihat terbuktinya kombinasi kami. Saya pasti peminat di Sabah menantikan konsert ini,” katanya.
Tiket konsert boleh didapati di laman sesawang https://ilassotickets.com/event/konsert-sifu-aku/ pada harga RM988 (VIP-tempat duduk bernombor), RM488 (tempat duduk bebas), RM388 (tempat duduk bebas), RM288 (tempat duduk bebas) dan RM188 (tempat duduk bebas).
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.