Kalam bukan lagu ‘sendu’ – Shiha Zikir

PENYANYI Shiha Zikir terharu apabila karya etnik kreatif nyanyiannya, Kalam mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang diumumkan pada Ahad lalu, sekali gus membuktikan lagu tersebut bukan sebuah karya ‘sendu’.

Shiha, 37, yang ditemui selepas pengumuman finalis AJL38 baru-baru ini mengakui sebak kerana sebelum ini ada pihak berpendapat karya ciptaannya bersama komposer muda Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves itu tidak layak untuk dipertandingkan.

Memang ada yang mencemuh dan melabel Kalam lagu sendu. Sebenarnya dari dulu sampai sekarang, prinsip saya sama sahaja iaitu mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

“Jika benar Kalam karya sendu, tak mungkin dipilih sebagai antara 30 lagu layak dipertandingkan di Semi Final Muzik Muzik ke-38 kerana untuk masuk memerlukan undian yang cukup daripada peminat,” jelasnya.

Pada masa sama, Shiha atau nama lengkapnya Nurshiha Mohd. Zikir mengakui menyimpan impian untuk melihat sebuah karya berentak etnik kreatif dan tradisional dipertandingkan di pentas AJL38.

Apabila Kalam diumumkan layak ke AJL38, saya bukan sahaja gembira, malah bersemangat memandangkan lagu ini sangat bermakna buat saya kerana dihasilkan dengan rentak tradisional fusion.

“Saya memang nak sangat lagu berentak tradisional atau etnik kreatif seperti ini (Kalam) layak ke peringkat tertinggi seperti AJL,” jelasnya.

SHIHA berjaya menambat hati barisan juri Semi Final Muzik Muzik ke-38 menerusi lagu Kalam.

Terdahulu, terdapat beberapa pihak mempertikaikan kemasukan Shiha ke peringkat akhir AJL38 yang disifatkan terlalu kerap sejak AJL35.

Shiha bagaimanapun berkata, penglibatannya ketika edisi AJL35 adalah kerana menggantikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan menyanyikan lagu 7 Nasihat.

Shiha kemudiannya sekali lagi kembali dalam AJL36 menerusi karya sendiri dengan menyanyikan lagu AEWO bersama Noki.

Rezeki berterusan apabila Shiha sekali lagi layak ke pentas AJL37 menerusi lagu Irama, sekali gus memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Ujar penyanyi genit itu, setiap kali tampil dengan karya baharu, dia memang meletakkan AJL sebagai penanda aras bagi memastikan kualiti lagunya memenuhi cita rasa pendengar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok