Jamal Abdillah si Raja Pop tiada dua

BAGAI berada di alam fantasi sebaik Raja Pop Datuk Jamal Abdillah memanaskan pentas bersama deretan seleksi malar segar yang menjadi halwa telinga khalayak sejak empat dekad lalu.

Vokalnya yang hebat tidak pernah gagal membuai emosi pendengar terutama apabila membawakan rangkaian lagu balada.

Aura penghibur

Dimulakan dengan Kenangan Tak Bisa Kau Lenyapkan dan Kau Lupa Janji yang menjadi pembuka persembahan Jamal Abdillah Live in Concert di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, aura penghibur tersohor itu sentiasa membahang.

Menjadi antara penyanyi yang kerap beraksi di pentas mega, setiap konsertnya mampu menarik penonton termasuk pada Jumaat minggu lalu apabila sekitar 1,800 peminat memenuhi premis acara tersebut.

Selain tetamu kenamaan  yang mencemar duli, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Jamal turut mengundang seorang peminat warga emas dari Terengganu, Rohani Abdullah, 69, menyaksikan persembahannya.

Jamal yang terharu dengan kehadiran Rohani mendedahkan mereka bertemu secara kebetulan di Hentian Rehat dan Rawat Temerloh, Lebuh Raya Pantai Timur dan dia tergerak hati untuk memberikan tiket VIP kepada wanita itu yang belum pernah menonton konsert sepanjang hayatnya. 

“Saya rasa macam nak menangis sebab dapat menghadiri konsert. Umur saya sudah tua, baru kali ini dapat tengok konsert Datuk Jamal,” demikian kata wanita terbabit disambut tawa hadirin. 

Dedikasi lagu

Bukan sekadar mendedikasi lagu Tidurlah Wahai Permaisuri untuk tetamu kenamaan secara spontan, Jamal turut mendendangkan Kasihnya Ibu buat Rohani.

Malah, daripada pemerhatian, konsert anjuran Shiraz Projects itu menghimpunkan peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia bermula belasan tahun sehingga warga emas termasuk dari Singapura dan Brunei.

Muncul tepat pukul 9 malam,  persembahannya dibahagikan kepada beberapa segmen termasuk balada, santai, ghazal dan medley menerusi segmen duet bersama Wany Hasrita membawakan lagu Kehebatan Cinta dan Canggung.

Manakala rapper, Mr. Faroq menemaninya di pentas menyampaikan lagu Aku Maafkan Kamu dan kemudian  bergandingan pula dengan dua anaknya, Osama Yamani serta Zaki Yamani menerusi lagu Gadis Melayu dan Penghibur.

Imbas nostalgia 

Persembahan diteruskan dengan lagu Azura sekali gus mengembalikan nostalgia filem romantik judul serupa pada 1984 yang melonjakkan namanya sebagai bintang filem. 

Bagai membawa khalayak melalui terowong masa, lagu Seroja pula diperdengarkan yang membuatkan bulu roma meremang seolah-olah disihir dengan kelunakan vokalnya.

Nyata kelebihan serta kemasyhuran bakat yang dicungkil menerusi pertandingan Bintang RTM 1979 itu tidak pernah pudar mahupun tergugat dengan kemunculan ramai penyanyi pelapis ketika ini.

Bagai sebuah fragmen, sambil berhibur Jamal turut berceloteh menceritakan pengalaman lalu selain tidak lupa meluahkan penghargaan terhadap insan yang menaikkan namanya termasuk komposer.

Sesekali gurauannya menggeletek hari hadirin yang tampak cukup terhibur sepanjang persembahan tersebut berlangsung.

Antara nama disebut-sebut sepanjang malam tersebut adalah penggubah lagu tersohor, Tan Sri Ahmad Nawab yang menghasilkan lagu Aku Penghibur.

Disokong sistem bunyi yang jelas dan pencahayaan terbaik, persembahannya cukup memukau sehingga penonton tidak meninggalkan kerusi biarpun bingkisan terakhir berjudul Seniman Menangis diperdengarkan.

Antara repertoire lain adalah Di Sudut Kamar Hatiku, Kekasih Awal dan Akhir serta Di Penghujung Rindu yang diiringi 15 pemuzik profesional diketuai Shahwal Hussin meninggalkan nostalgia tersendiri.

Sesekali menyanyi sambil duduk, momentum vokalnya kekal padu sehinggakan ramai berasa kagum dengan kehebatannya. 

Bahkan ada dalam kalangan pengikut tegarnya menitiskan air mata apabila  berpeluang menonton konsert itu. 

Bijak memancing perhatian dengan rangkaian lagu menusuk kalbu, Jamal bukan sahaja dipuji kerana kemerduan vokalnya malah sisi santainya membuatkan peminat rasa sangat dekat dengan dirinya. 

Tidak akan ada dua Jamal Abdillah walaupun ada yang barangkali mampu meniru caranya menyanyi. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok