Jalani pembedahan kecemasan, Dayana Roza selamat timang bayi lelaki

PELAKON Dayana Roza selamat menimang cahaya mata kedua yang dilahirkan tiga minggu lebih awal di sebuah pusat perubatan di Ampang, awal pagi semalam.

Nur Dayana Kamsun Baharin, 32, berkata bayi lelaki seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan secara pembedahan kecemasan berikutan bukaan yang tidak cukup luas.

Alhamdulillah semuanya dipermudahkan walaupun agak mengejutkan sebaik saya merasai kontraksi lebih awal iaitu pada Jumaat lalu.

“Sepatutnya saya dijangka bersalin pada 17 Januari 2024 dan disebabkan bukaan tidak luas selain keadaan bayi, kaedah pembedahan perlu dilakukan segera.

“Walaupun rasa sakit selepas pembedahan sudah terasa, saya tetap bersyukur bayi kami dalam keadaan sihat,” katanya.

Pelakon Jiwa Wanita itu turut menyatakan tidak pernah merancang menjalani pembedahan, namun akur berikutan kondisi dilalui.

Sebelum ini anak sulung kami dilahirkan secara normal, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang,” ujarnya.

Rumah tangga Dayana dengan ahli perniagaan, A’dale Adham Ayahudin pada 25 Disember 2020 lebih dulu diserikan seorang anak perempuan, Astrid Raheeya yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok