Isu kontrak ditamatkan, Kaka Azraff jawab esok!

SAYA akan adakan sidang media esok.”

Itu respons penyanyi Kaka Azraff selepas beberapa hari mengunci mulut berhubung spekulasi kontrak rakaman ditamatkan akibat lantang menyokong Palestin.

Menurut Kaka, bukan dia sengaja mendiamkan diri atau mengelak daripada memberikan kenyataan, sebaliknya dia perlu mendapatkan nasihat peguam sebelum bersuara.

Saya tak mahu tampil dengan tangan kosong dan kerana itu mendapatkan nasihat daripada peguam terlebih dahulu.

“Ramai (media) yang hubungi saya, tetapi lebih baik kita bersemuka supaya semuanya (butiran) dapat dijelaskan secara terbuka,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Diminta mengesahkan kesahihan khabar angin membabitkan Warner Music Malaysia, pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu menyatakan hanya akan memberi jawapan pada sidang media nanti.

Kemelut tercetus apabila Kaka meninggalkan komen secara mesej langsung (DM) kepada pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic mengecam perkongsian lelaki itu dalam Instagram Story.

Tindakan selebriti berusia 34 tahun itu meraih perhatian pempengaruh popular tersebut yang kemudian memuatnaik semula tangkap layar butiran mesejnya.

Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?” tulisnya.

Gara-gara kenyataan itu, bukan hanya pensohor terbabit, sebuah laman sosial di bawah nama Jew Hate Database turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.

Laman Instagram yang ditubuhkan bagi mendedahkan individu serta selebriti pro-Palestin untuk dimalukan itu turut berkempen menjatuhkan Kaka dengan mendedahkan maklumat dirinya.

Dalam perkongsian mereka, penyanyi Bukan Hal Aku itu disebut sebagai ‘pembenci Yahudi’ dan pada hantaran sama turut dikongsikan identitinya sebagai artis di bawah Warner Music Malaysia.

Pendedahan dibuat mengakibatkan laman sosial Kaka diserang penyokong Israel, namun ‘tentera bawang’ Malaysia tidak berdiam diri dengan membuat serangan balas.

Malah Instagram label dinaungi penyanyi  itu turut berdepan kecaman berikutan desas-desus menamatkan kontrak Kaka yang dikatakan berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini walaupun perjanjian bersama itu difahamkan hanya berakhir pada April 2024.

Rata-rata meminta orang ramai memboikot label yang disifatkan pro-Israel itu, selain mendesak anak syarikat kepada Warner Music Group yang ditubuhkan pada 1978 menutup operasi mereka di negara ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok