Sudah masuk hari ketiga, keadaan along (Isma Aliff) Alhamdulillah semakin baik. Dia sudah boleh berborak dengan kami menggunakan mata. Tangan juga sudah boleh bergerak.”
Demikian perkongsian adik artis serba boleh era 1980-an, Isma Aliff iaitu Shamsidah Ismail, 57 mengenai keadaan terkini abangnya yang sedang dirawat di Hospital Ampang.
Kata Shamsidah, Isma, 59, juga sudah boleh ke tandas dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan.
Doktor ada cakap sebelum ini bahawa along mempunyai semangat yang kuat. Semalam saya dimaklumkan oleh rakannya yang datang melawat dari Terengganu bahawa along juga sudah boleh ke tandas dengan bantuannya.
“Ini semua perubahan yang baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Shamsidah turut mendedahkan, ramai rakan-rakan industri seni bertanya khabar dan datang menziarahi Isma di hospital sejak berita kesihatan pelakon dan penyanyi itu tular.
“Ramai sangat yang datang menziarahi along. Kadang-kadang saya sudah pulang masih ada lagi yang melawat. Bila along nampak wajah kawan-kawan yang dia kenal, mengalir air matanya.
Along memang dikenali sebagai orang yang ramah dan sangat suka buat lawak. Mungkin tangisan itu adalah caranya untuk memberitahu yang dia gembira.
“Bila ramai yang datang menjenguk, secara tidak langsung dia rasa bersemangat untuk sembuh,” katanya.
Sebelum ini, Isma Aliff dilaporkan kritikal dan ditidurkan selepas mengalami jangkitan paru-paru dan jantung bengkak pada Selasa.
Isma dikejarkan ke hospital selepas mengalami kebas seluruh badan selain mengadu sakit kepala. – HIBGLAM