Incubus kembali gegarkan Kuala Lumpur April 2024

TAHUN 2024 bakal dipenuhi nostalgia terutama buat peminat rock era 1990-an dengan kembalinya band Incubus ke Malaysia untuk Asia Tour 2024 yang akan berlangsung di Mega Star Arena KL pada 27 April depan.

Direalisasikan Hitman Solutions, band yang ditubuhkan pada 1991 dan meraih kejayaan luar biasa dengan lebih 23 juta album terjual di seluruh dunia bakal memenuhi impian penggemar di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, sebagai pencinta muzik rock, dia berkongsi keterujaan menanti kehadiran band antarabangsa itu singgah di negara ini selepas kali terakhir hadir pada 2018.

“Lima tahun berlalu, kini kami memenuhi permintaan ramai untuk mereka kembali ke Malaysia , terutama selepas melihat sambutan terhadap konsert ini di negara jiran.

“Bersama semangat, Hitman Solutions bertungkus-lumus demi memuaskan hati kaki rock tempatan dengan membawakan Incubus beraksi secara ‘live’ seperti diidamkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan asal Calabasas, Amerika Syarikat itu membariskan Brandon Boyd selaku vokalis, Mike Einziger (gitar), Jose Pasillas (dram), Ben Kenney (bas) dan Chris Kilmore (keyboard).

Mereka dijangka membawakan seleksi hits daripada diskografi sulung, Fungus Amongus yang diterbitkan pada 1994 sehinggalah If Not Now, When? (2011).

KALI pertama Incubus mengadakan persembahan di negara ini adalah pada 2004 dan kembali lagi menggegarkan Pesta Sunburst empat tahun kemudian disusuli 2014 dan 2018.

Impak lebih dua dekad

Incubas yang mencetuskan impak selepas kemunculan Pardon Me, Stella dan Drive daripada buah tangan ketiga mereka turut meraih pelbagai pengiktirafan sepanjang lebih dua dekad berkongsi lagu mereka.

Antara seleksi popular lain termasuk Nimble Bastard, Loneliest, Glitterbomb, No Fun dan State Of The Art, Megalomaniac, I Miss You, Wish You Were Here, Sick dan Sad Little World.

Sejarah mereka bermula dengan persahabatan sejak di bangku sekolah sekali gus meneruskan legasi dengan mempamerkan kebolehan dalam mengadunkan pelbagai genre seperti metal, funk, dan hip-hop.

Pernah berkongsi rahsia terus ‘hidup’ di tengah kebanjiran band lain, tidak terikat dengan aliran muzik membolehkan mereka kekal bertahan dan diterima ramai.

Kali pertama Incubus mengadakan persembahan di negara ini adalah pada 2004 dan kembali lagi menggegarkan Pesta Sunburst empat tahun kemudian.

Mempertaruhkan lapan album, band ikonik itu meraih sambutan hangat penonton tempatan apabila diundang lagi menghiburkan peminat pada 2014 serta 2018.

Tiket konsert Incubus Asia Tour 2024 dibahagikan kepada tiga zon utama, CAT 1 – VIP Seating (RM299), CAT 2 – Normal Seating (RM249), Rockzone – Free Standing (RM249) menerusi laman sesawang, www.hitmanlive.com.

Difahamkan sehingga kini, tiket konsert laris dan menjadi rebutan peminat band rock yang sangat terkenal terutama buat mereka yang lahir tahun 1990-an. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok