Ibnor Riza kini kritikal

PENYANYI popular era 1980-an, Ibnor Riza yang menderita kanser limfoma dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas menjalani satu pembedahan di kepala baru-baru ini.

Perkara tersebut dikongsikan rakan seperjuangannya, Azura Aziz yang meminta orang ramai terus mendoakan kesihatan penyanyi berusia 62 tahun itu.

“Assalamualaikum semua. Buat makluman, sahabat seni kita Ibnor Riza kini sedang dalam keadaan kritikal.

“Apa-apa pun mari kita doakan semoga beliau diringankan sakit dan dipermudahkan segala-galanya.

“Semoga sentiasa dalam rahmat Allah,” tulis mesej yang disebarkan kepada umum sebentar tadi.

Usaha HibGlam untuk mendapat kenyataan isterinya yang juga bekas peserta Kilauan Emas, Sarimah Suleiman belum berhasil apabila tidak memberi respons terhadap panggilan mesej kepadanya.

Terdahulu, penyanyi Meneka Dalam Kesamaran itu masih tidak sedarkan diri sejak menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.

Sarimah atau Seri, 51, dalam temu bual  sebelum ini memaklumkan pembedahan yang berlangsung selama dua jam berjalan lancar, namun suaminya masih ditidurkan bagi memantau keadaan kesihatannya.

“Doktor beritahu perkembangannya sangat perlahan. Ada kuman yang mengakibatkan komplikasi kepada organ lain termasuk buah pinggang suami,” katanya.

Ibnor menjalani pembedahan itu di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Bandar Tun Razak, Cheras selepas mengadu sakit kepala.

Pada 10 November lalu, penyanyi itu turut menjalani kimoterapi R-ICE di hospital sama.

Dia turut mengalami demam yang berpanjangan selepas rawatan.

Ibnor yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu sehingga kini difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan kali.

Sejak disahkan sakit, dia membelanjakan sekitar RM80,000 bagi kos perubatan dengan menggunakan kesemua wang simpanan selain menjual tiga buah kereta miliknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok