Hos Pentas Marhaban nafi guna pengaruh pilih kumpulan sendiri

PENGACARA Pentas Marhaban, Tilmiz Fahmi menafikan penyertaan kumpulannya, Al Maqari dalam program realiti terbitan TV Al Hijrah hasil pengaruhnya sebagai pengendali acara.

Pemilik nama sebenar Muhamad Nurfahmi Zainal, 23, berkata, dakwaan menggunakan keistimewaan sebagai hos bertambah ketara apabila giliran Al Maqari membuat persembahan pada konsert kelima malam ini.

“Saya sedar masih wujud persoalan mengenai status saya dengan kumpulan Al Maqari di Pentas Marhaban dan di sini saya nak jelaskan saya hanya hos, tiada kena mengenai dengan pemilihan peserta.

“Saya juga tiada kuasa untuk menentukan pemenang mingguan dalam konsep pertandingan kalah mati ini mahupun mempengaruhi juri supaya memilih kumpulan saya ke pentas akhir nanti.

“Seperti dijelaskan ketika program realiti ini bakal memulakan cabaran bulan lalu, pemarkahan adalah 100 peratus diadili juri tetap dan juri jemputan yang berintegriti serta sememangnya telus,” katanya.

Sebelum ini johan Akademi Qurra’ itu mendedahkan menerima mesej langsung (DM) daripada beberapa individu yang mempertikaikan penyertaan kumpulannya kerana dianggap mempunyai konflik kepentingan.

Menerusi konsert kelima Pentas Marhaban malam ini, Al Maqari bertarung dengan Qalbun Hadi yang juga berkonsepkan kalah mati seperti empat minggu terdahulu.

Pada masa sama, Fahmi turut menepis dakwaan mengatakan Al Maqari menutup peluang kepada pendatang baharu untuk mencuba nasib dalam mana-mana program realiti.

“Ini adalah satu tohmahan yang salah serta tuduhan berat sebab Al Maqari sendiri bukan kumpulan yang sudah berkecimpung berbelas tahun dalam arena ini.

“Sebenarnya kami baru nak bertapak serta menguatkan lagi jenama kumpulan ini terutama di platform televisyen.

“Jika anda rasa layak untuk menyertai mana-mana program, kita bersaing secara sihat dan tunjukkan budaya sihat sekali gus mengelakkan perbalahan,” ujarnya.

Selain Fahmi, Pentas Marhaban turut dihoskan pelakon dan pengacara popular, Syamsul Ghau Ghau.

Pentas Marhaban dijadualkan bersiaran selama lapan minggu dengan dua kumpulan berentap pada setiap minggu diadili dua juri tetap, Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis (Along Gambus) bersama seorang lagi juri jemputan.

Program yang mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan bersiaran secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV Al Hijrah pada setiap Sabtu, pukul 9 malam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok