PENYANYI Pija Yasin mendedahkan pernah mengalami kemurungan selepas pemergian empat ahli keluarga berturut-turut termasuk ibu dan ayahnya awal tahun ini.
Katanya, kehilangan empat insan tercinta ketika masih dalam fasa awal perceraian membuatkan jiwanya kosong sehingga enggan bertemu orang ramai.
“Bermula awal tahun ini kami sekeluarga hilang tempat bergantung selepas ayah meninggal dunia, diikuti kakak kelima dan keempat yang pergi kerana kanser selain pendarahan dalam otak secara tiba-tiba.
“Waktu itu saya dan adik-beradik lain memang sudah cukup bersedih, kemudian emak pula menghembuskan nafas terakhir tidak sampai dua bulan selepas anaknya pergi menambahkan lagi perasaan pilu.
“Mereka tempat kami mengadu terutama emak yang saya bawa tinggal bersama. Ketika itu saya macam hilang separuh nyawa,” katanya kepada HibGlam ketika sidang media Konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound (Sound Spirit), baru-baru ini.
Begitupun, pemilik nama sebenar Norafizah Mohd. Yasin itu, bersyukur dikelilingi adik-beradik serta anak saudara yang ramai sekali gus mereka saling memberikan semangat untuk terus bangkit.
“Mati itu pasti, bukan tidak reda cuma apabila kita hilang empat orang yang kita sayang secara berturut-turut tentu saja perasaan itu sukar untuk diungkapkan.
“Alhamdulillah, adik-beradik saya ramai, 15 orang semuanya, belum lagi masuk anak-anak buah yang buat saya bangkit daripada tekanan dan kemurungan.
“Kami saling memujuk sebab teringat pesan emak selepas pemergian ayah dan kakak bahawa hidup ini perlu diteruskan. Allah ambil mereka sebab Allah sayang,” ujarnya.
Berkongsi mengenai perceraian dengan bekas suami, Datu Anwar Datu Amir Kahar, protege Datuk Zainalabidin dalam program Mentor 2005 yang juga program itu mendedahkan hubungan mereka kekal baik.
Malah, bekas suaminya itu enggan mengenang kisah silam sebaliknya menyifatkan jodoh selama lapan tahun yang berakhir pada 2022 itu sebagai muhasabah diri ke arah menjadi bapa terbaik buat tiga permata hati mereka.
Katanya, buat masa ini kerjaya nyanyian tetap nombor satu bagi mencari rezeki demi anak-anak dengan ligat memenuhi persembahan pentas termasuk konsert bersama Zainalabidin pada 20 Januari tahun depan.
“Mentor saya memang antara penyokong yang sentiasa bagi nasihat malah sudah banyak kali saya diundang menyertai konsertnya seperti yang dijadualkan tahun depan iaitu Sound Spirit Zainalabidin.
“Saya anggap insan bernama Zainalabidin ini bukan sekadar guru, malah insan berjiwa besar yang sama-sama membantu untuk melihat saya terus mara dalam industri seni,” ujarnya. – HIBGLAM