Hikayat Pak Belalang bikin pecah perut

Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah drama yang diinspirasikan daripada filem arahan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Itu yang perlu dilalui pengarah, Razif Ajiboy bagi menghasilkan drama Hikayat Pak Belalang yang kini rancak disiarkan menerusi siaran Astro Ceria.

Razif berkata, dia berusaha menyelitkan kelainan dalam drama tersebut walaupun alur ceritanya diilhamkan daripada filem popular tersebut.

“Cabaran untuk pembikinan drama ini ialah bagaimana untuk mengelak daripada tidak meniru 100 peratus idea P. Ramlee tambahan pula filem tersebut sangat ikonik dan diingati ramai.

“Jujurnya untuk keluar daripada sentuhan P. Ramlee sangat susah sebab kita semua membesar dengan filem-filem arahannya,” katanya pada sidang akhbar drama terbabit, baru-baru ini.

Dia bagaimanapun bersyukur kelainan tercetus dalam drama tersebut adalah hasil idea dan tenaga kerja daripada setiap pelakon yang terlibat seperti Bell Ngasri, Haziq, Datuk Jalaluddin Hassan, Ruhainies dan Amy Mastura.

“Kerisauan saya akhirnya menjadi minima apabila para pelakon yang membarisi drama ini hebat-hebat belaka, daripada aspek lakonan memang sangat berbeza.

“Kemudian dapat bekerjasama dengan Bell juga sangat mencabar kerana terlalu banyak sangat idea diberi.

“Perkara itu bagus tetapi kalau nak ambil semua idea, tiga tahun pun tidak cukup untuk tamatkan drama ini,” ujarnya.

Selain itu, dia juga berkata, kelainan lain yang dilakukan untuk naskhah tersebut ialah penamat jalan cerita serta penambahan watak.

“Penamat drama ini berbeza daripada filem Nujum Pak Belalang. Jalan cerita pula sangat kelakar tetap padat dengan nilai-nilai murni.

“Kemudian kami tampilkan karakter serangga belalang bernama Hijau iaitu sahabat kepada watak Haziq. Semua itu tiada dalam filem P. Ramlee,” katanya lagi.

Watak ikonik

Sementara itu, Bell yang menerajui watak Nujum Pak Belalang mengakui amat gementar memegang karakter yang sangat sinonim dengan P. Ramlee.

Kongsinya, dia berusaha untuk memberi kelainan, namun tidak boleh terlalu tersasar daripada watak asal.

“Pada awalnya memang sukar untuk saya bawakan kelainan sebab watak itu sudah terlalu gah.

“Saya ada juga tiru cara penyampaian watak, lawak dan dialog seperti P. Ramlee tetapi bukan 100 peratus.

“Harap penonton suka dan berpuas hati dengan hasil yang dipersembahkan oleh kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon cilik, Haziq Asyraf pula teruja apabila diberi peluang memegang watak Belalang untuk drama ini.

Ujarnya, dia juga mudah mendapatkan keserasian dengan Bell yang menjadi bapanya dalam drama tersebut.

“Sebelum ini saya selalu jadi pengacara dalam media sosial sahaja kemudian apabila berpeluang berlakon drama, memang seronok.

“Paling teruja dapat banyak ilmu daripada barisan pelakon dan pengarah kerana mengajar saya pelbagai perkara berkaitan penggambaran yang sebelum ini sangat asing untuk saya,” tuturnya.

Drama yang sudah menemui penonton bermula 11 Disember lalu itu boleh ditonton menerusi siaran 601 Astro Ceria setiap hari Isnin pada pukul 9 malam.

Hikayat Pak Belalang terbitan Zeel Production merupakan drama pertama bagi francais ‘hikayat’ yang bakal diikuti dengan Hikayat Bawang Merah Bawang Putih pada tahun depan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok