Hasrat M. Daud Kilau bertemu Zaiton Sameon tercapai

BEKAS wartawan yang juga promoter persembahan, Syed Mohd Yusof Wafa Syed Nordin bersyukur dapat  menyantuni permintaan Allahyarham Datuk M. Daud untuk bertemu penyanyi Zaiton Sameon pada Mac lalu.

Katanya, penghibur yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi serta lemah jantung ketika itu masih mampu berjalan dengan bertongkat selain gagah melayan tetamu.

“Sebenarnya Datuk sudah lama menyuarakan hasrat mahu berjumpa Kak Eton (Zaiton). Mereka sudah lama tidak bertemu disebabkan Datuk lama tak memenuhi undangan pentas.

Dia gembira tengok saya datang bawa kawannya, bahkan kami diminta tinggal di rumah inap miliknya di Sungai Balai, Bagan Datoh, Perak berhadapan kediaman anaknya, Ahmad Zaini.

“Kami bawa udang dan makanan laut segar untuk dibakar beramai-ramai, kiranya malam itu Datuk dengan Kak Eton dapat berborak panjang,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Syed Wafa yang membantu menguruskan kerjaya seni Raja Gelek itu secara sambilan sejak beberapa tahun lalu berkata sudah enam kali melawat Allahyarham sepanjang tahun ini.

Menurutnya, hubungan mereka rapat sejak 1996 apabila dia kerap membawa penyanyi terbabit mengadakan persembahan di seluruh negara selain ke Brunei dan Singapura.

Malah keakraban mereka membuatkan Allahyarham tidak kekok berkongsi cerita atau meluahkan perasaan termasuk terasa hati tidak dikunjungi teman seperjuangan.

“Sebenarnya, kali terakhir saya datang ke rumahnya minggu lalu Datuk sudah terbaring disebabkan kedua-dua kakinya sudah nampak mengecut serta tidak mampu lagi memijak.

Walaupun lemah, dia tetap ingin bercerita hal lalu bahkan sempat menyanyikan beberapa rangkap lagu kegemarannya, Cek Mek Molek.

“Sebelum balik dia menangis minta saya tunggu, selain luahkan rasa sedih sebab kawan-kawan tak datang bertanya khabarnya di kampung,” ujarnya.

Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya, Ahmad Zaini, 52, yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan pukul 4.46 petang tadi.

Arwah yang dimasukkan ke hospital sejak 12 Disember lalu sepatutnya menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat jangkitan kuman hari ini, namun keadaan jantungnya tidak mengizinkan prosedur dilakukan.

Sebelum ini, penyanyi berusia 85 tahun itu pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Sejak sakit, Allahyarham tidak lagi memenuhi undangan persembahan kerana tidak boleh berdiri lama selain mengalami kebas kaki, tangan dan sakit pinggang serta kurang daya pendengaran.

Terdahulu, penghibur yang dilahirkan di Bagan Datoh pada 10 Julai 1938 itu mula dikenali selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 dengan mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.

Selepas itu dia ditawarkan menjadi artis rakaman hingga menghasilkan banyak EP dan LP yang memuatkan seleksi bergenre langgam, asli serta dangdut.

Terkenal dengan imej persalinan sarat labuci, penghibur yang lebih lima dekad dalam arena seni suara itu juga mempunyai senarai panjang lagu popular termasuk Gila Judi serta dendangan duet dengan Ezlynn berjudul Pening dirakamkan pada 2003. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok