Hael Husaini baru nak lancar album studio

SIAPA tidak kenal dengan figura bernama Hael Husaini. Bukan sahaja handal menyanyi, sentuhan suntikannya dalam setiap komposisi dan gubahan lagu sentiasa menjadi dambaan ramai.

Sibuk melengkapkan gubahan lagu untuk album penyanyi lain sebelum ini, kini giliran pemenang Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) itu pula melancarkan album sulung yang dinanti-nantikan menerusi Antonim (Part I) pada 5 Januari 2024.

Album penuh variasi muzik itu memuatkan enam buah lagu yang kesemuanya merupakan ciptaan barisan komposer ternama tanah air seperti Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat serta Hael Husaini sendiri

Ujar pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi itu, dia telah menghasil lebih 20 demo lagu untuk dimuatkan dalam album pertamanya itu, namun hanya beberapa lagu disenarai pendek selepas berdiskusi dengan pihak label.

“Sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, saya hasilkan sekitar 20 buah lagu (demo) untuk album ini tapi lepas berbincang dengan label serta pasukan, hanya 10 buah lagu dipilih.

“Beberapa buah lagu lama disusun semula khas untuk album ini.

“Dalam album ini terkandung lagu-lagu seperti Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).

“Empat buah lagu daripada album ini telah dipilih kerana menjadi lagu tema bagi sebuah drama bersiri popular lakonan saya juga,” kongsi Hael.

Paling utama, kata jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu, album tersebut merupakan signifikan perjalanan seninya yang sudah menjangkau hampir 17 tahun dengan rangkuman pelbagai nuansa dan muzik segar dan mudah melekat di telinga pendengar.

Album sulung

“Album sulung ini sangat penting buat karier saya kerana sudah lama saya cuba merealisasikannya.

“Album ini impian terbesar saya, banyak sangat cabaran dan kisah duka yang saya dan pasukan terpaksa tempuhi.

“Antonim (Part I dan II) dijadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering saya hidangkan buat pendengar sebelum ini, namun keseluruhan lagu masih berkonsepkan pop yang bernuansakan balada serta rock,” ujarnya.

Kata jejaka berwajah ‘oppa’ itu lagi, setiap naskhah dalam album tersebut mempunyai jalan cerita tersendiri, berlandaskan idea dongeng dan kisah sekeliling.

“Lagu saya ada kisah tersendiri, contoh macam lagu Diam yang dilancarkan dalam bentuk MV pada 22 Disember lalu.

“Lagu itu sangat dekat dengan persekitaran kita, satu luahan kekecewaan terhadap seseorang yang mengkhianati kita, orang yang berpura-pura suka terhadap kewujudan kita tetapi sedang berusaha untuk menjatuhkan kita dan ingin melihat hidup kita musnah.

“Proses rakaman juga akan dilakukan di beberapa buah studio mengikut lagu dan penerbitnya sendiri.

“Saya juga ada menggunakan khidmat beberapa penerbit dan jurutera bunyi dari luar negara untuk mendapatkan sentuhan berbeza dari segi bunyi,” kongsi Hael lagi

Album Antonim (Part I) boleh dimuat turun di iTunes serta boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Video muzik sebuah lagu berjudul Diam pula boleh ditonton secara eksklusif menerusi saluran YouTube Hael Husaini Official.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok