Hadir ke mahkamah, Adira mohon cerai lagi

SELEPAS meraih gelaran naib juara Famili Duo musim tiga (FD3), penyanyi Adira mengejutkan ramai apabila muncul di Mahkamah Syariah Gombak Barat, Rawang, pagi tadi.

Kehadiran ibu kepada empat cahaya mata itu ditemani kakaknya Emma, selaku wakil bagi sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) susulan permohonan perceraian terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober lalu.

Permohonan itu diajukan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor bersandarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Sekali gus, ini adalah permohonan kedua pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi, 32, selepas menfailkan tuntutan sama pada 1 April 2019 iaitu ketika hamil anak ketiga mereka.

Kehadiran isteri kedua Adnan atau dikenali sebagai Datuk Red itu mengesahkan spekulasi rumah tangga mereka yang didakwa kembali goyah sejak penghujung tahun lalu.

Bagi sebutan kedua kes yang berlangsung pagi tadi, Adnan, 43, hanya datang bersendirian tanpa membawa bersama wakil seperti ditetapkan mahkamah.

Berikutan tindakan tersebut, Hakim Syarie Abdul Hadi Omar menegur ahli perniagaan terbabit yang dikatakan melambat-lambatkan proses JKP.

Susulan itu, Abdul Hadi menangguhkan sesi bersama JKP kepada 18 Disember depan dan Adnan dikehendaki membawa bersama wakil yang dilantik mewakilinya.

Biarpun enggan memberikan sebarang komen, bibit hubungan dingin pasangan yang bernikah di
Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 itu dapat dihidu peminat berikutan tiada lagi gambar bersama.

Namun, Adira pantas menangkis spekulasi sebaliknya hanya memaklumkan lebih menjaga hati isteri pertama, Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim.

Apatah lagi, Adnan dilihat dua kali hadir ke Studio Ntv7, Glenmarie sebagai tanda sokongan sepanjang lapan minggu Adira bersaing dalam program realiti kelolaan TV3 itu.

Begitupun, ketika kemuculan pertama Adnan pada konsert minggu ketiga, penyanyi itu menolak memenuhi permintaan media untuk merakamkan gambar berdua dengan alasan menjaga hati madunya.

Usaha HibGlam untuk mendapatkan maklum balas pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi belum berhasil apabila panggilan tidak dijawab. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok