Garang demi masa depan anak – Scha Alyahya

PENDIDIKAN nombor satu. Itu yang ditekankan aktres jelita Scha Alyahya buat dua anaknya yang semakin membesar.

Ini kerana, wanita itu sangat peka mengenai perihal akademik yang sememangnya penting demi mencatur masa depan lebih terjamin.

Selain menggalas tanggungjawab sebagai ibu, Scha juga sibuk memenuhi tuntutan kerjaya baik dalam cabang lakonan, pengacaraan mahupun perniagaan.

Bagaimanapun, semua itu tidak menghalang juara Dewi Remaja 2005/2006 terbabit memastikan permata hatinya mendapat yang terbaik terutama dari segi pendidikan.

Balik penat macam mana pun, saya tetap akan buka beg sekolah anak-anak untuk periksa dan sediakan buku atau pakaian mereka.

“Saya mahu ada bersama mereka kerana tahu mereka sedang membesar. Takut mahu kejar perkara-perkara (kerja) ini tetapi benda depan mata terlepas.

Saya beruntung sebab boleh pilih tawaran mana yang saya mahu buat atau tidak kerana macam mana sibuk pun saya kena terlibat dengan anak-anak,” katanya membuka bicara.

GARANG Scha bertempat, tidaklah sampai mengasari anak.

Disebabkan ketegasan dalam memastikan puteri sulungnya, Lara Alana, 9, penuh ilmu di dada, secara tidak langsung, perkara terbabit membuatkan si kecil itu bimbang dengan keputusan pelajaran yang diperoleh.

“Benda ini saya selalu cakap dengan Awal untuk ambil berat dalam hal akademik Lara.

Saya sangat memandang serius perkara ini sampai Lara sendiri takut untuk balik rumah sehingga menangis.

“Puncanya kerana takut untuk tunjuk keputusan peperiksaan sehinggakan saya terfikir saya terlalu seriuskah dengan dia sampai takut,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya itu berkata, tindakannya dalam menekankan pendidikan anak-anak adalah bertujuan demi masa depan mereka.

Saya memang garang tetapi tidak sampai mengasari anak. Mungkin kerana dia (Lara) tahu saya selalu duduk dengannya lebih-lebih lagi melibatkan hal pelajaran.

“Saya mahu dia fokus akademik. Kalau besar nanti nak jadi apa pun, terpulang kepadanya.

“Selagi saya bertanggungjawab untuk mendidik, saya akan buat sebaik mungkin dan bila dah besar nanti, mereka bebas pilih nak jadi apa,” jelas bintang drama popular Awan Dania itu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok