AWAK patut berhenti. Jangan sampai saya buat laporan dan aduah jenayah siber Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).”
Itu kata pelakon Mira Filzah yang bengang dengan tindakan individu menyunting fotonya menggunakan kecerdasan buatan atau AI sehingga mendatangkan aib sekali gus menjatuhkan maruahnya sebagai wanita.
Pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman itu juga memberi amaran kepada pelaku supaya menghentikan penyuntingan tidak senonoh itu sebelum hal tersebut menjadi teruk malah dia tidak teragak-agar mengheret individu terbabit ke muka pengadilan.
Kepada pemilik akaun palsu itu, saya mungkin senyap dan tidak banyak bercakap mengenai perkara ini sebab itu kamu makin berani.
“Tapi jangan sampai saya buat laporan dan aduah jenayah siber Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
“Apapun motif yang awak cuba buat, awak patut berhenti!,” ujar Mira menerusi sebuah video dalam TikTok.
Sementara itu, aktres berusia 30 tahun itu memberitahu dia sudah beberapa kali berusaha melaporkan akaun tersebut namun TikTok memaklumkan tiada sebarang pelanggaran berlaku.
“Saya ada terima pelbagai mesej berhubung akaun palsu yang guna wajah Mira untuk edit benda tidak senonoh.
Banyak mesej langsung (DM) beritahu dan Mira sudah tahu lama dan banyak kali buat laporan, banyak!.
“Tapi entah mengapa TikTok tolak laporan itu dengan mengatakan tiada sebarang pelanggaran yang berlaku,” ujar Mira dalam nada serius.
Sebelum ini kecoh apabila foto-foto selebriti tempatan disunting secara melampau sehingga mengaibkan terutamanya dalam kalangan wanita.
Selain Mira, antara selebriti yang turut menjadi mangsa adalah Uqasha Senrose, Puteri Aisyah, Sophia Albarakbah dan Iman Troye. – HIBGLAM