PENYANYI juga cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob menzahirkan kesedihan dan terkesan atas pemergian wartawan hiburan, Fiza Kamarudin malam tadi di Hospital Charing Cross di London, United Kingdom.
Fazley, 45, mendedahkan sempat meyakinkan pemilik nama sebenar Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, itu untuk meneruskan rawatan kemoterapi penyakit kanser yang dihidapinya selama ini.
“Saya terkesan apabila menerima perkhabaran duka sahabat saya telah pergi secara mengejut ketika di hujung percutiannya bersama keluarga tercinta.
“Ketika arwah baru mendapat berita tentang penyakitnya kami berhubung hampir setiap hari menerusi Instagram.
“Malah, dia meminta untuk diyakinkan keberkesanan rawatan yang bakal dilaluinya,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Lebih terkilan, pelantun lagu Asmara Ini itu tidak dapat menunaikan janjinya menyediakan hidangan istimewa air tangannya kepada Fiza yang sepatutnya dilaksanakan pada minggu hadapan.
“Kami juga baru berbicara panjang mengenai keadaannya dan saya berjanji ingin masakkan pasta daging salai buatnya minggu hadapan.
“Moga tenang Fiza di sana, berehatlah sahabatku. Terima kasih atas setiap butiran kata-kata indah dalam penulisanmu buatku selama ini,” ujarnya lagi.
Semalam, dunia kewartawanan tanah air dikejurkan dengan kehilangan Fiza yang terlebih dahulu dilaporkan berada dalam keadaan koma akibat pendarahan otak di London.
Menurut adiknya, Siti Nor Hazlinda, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 3 petang waktu tempatan atau sekitar pukul 11.30 malam (waktu Malaysia) yang berpunca daripada sel kanser merebak ke seluruh anggota badan.
Arwah berada di London menunaikan janji bersama suami membawa anak-anak bercuti yang disifatkan barangkali menjadi percutian terakhirnya bersama keluarga. Sewaktu di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London beberapa jam sebelum berlepas pulang ke tanah air, arwah mengalami kekejangan dan jatuh pengsan sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan. -HIBGLAM