Saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Kalau pelanggan gembira, saya lagi gembira.”
Demikian perkongsian pelakon Faye Kusairi yang gembira apabila bergelar peniaga nasi ayam walau hanya dengan membuka gerai kecil di pinggir jalan Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor sejak dua minggu lalu.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Faye atau nama lengkapnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 36, dalam Instagram miliknya, pelakon tersebut menzahirkan rasa syukur dengan sambutan yang diterima daripada pelanggan.
Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, sudah ada pelanggan tetap. Jadi, bertambah bersemangat saya untuk berniaga nasi ayam,” ujarnya.
Ujar pelakon drama Istikharah Cinta itu lagi, sejak hamil anak ketiga dia sudah pasang niat untuk membuka gerai nasi ayam.
Sebenarnya dari hamilkan Yaya (anak ketiga) lagi saya sudah berniat untuk buka gerai menjual nasi ayam. Bila sudah sihat daripada berpantang, saya terus buka gerai di sini.
“Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan urusan dan sambutan pun sangat baik. Saya sangat bersyukur. Nasi ayam tidaklah hebat sangat. Sekadar ‘sedap-sedap’ tekak sahaja dan sesuai dengan harganya,” ujar Faye.
Menerusi perkongsian berbeza, pelakon asal Sarawak itu berharap dapat membuka sebuah restoran menjual nasi ayam suatu hari nanti.
“Semoga kami dapat terus berniaga sampailah ada kedai satu hari nanti. Semoga peminat nasi ayam tidak jemu dengan air tangan saya.
Resipi ini daripada mama. Saya sudah boleh masak nasi ayam sejak berusia 13 atau 14 tahun. Mama memang rajin ajar saya memasak,” katanya.
Dalam pada itu, Faye yang juga isteri kepada pengarah, Azmi Hatta turut meluahkan rasa seronok apabila nasi ayam jualannya mendapat permintaan dan sokongan daripada rakan artis.
“Sayangku, nak tempah nasi ayam boleh?” kata pelakon Fazlina Ahmad Daud.
“Wah! Nak kena cuba juga,” kata pelakon Faezah Elai.
“Saya doakan agar rezeki awak mengalir seperti air Zamzam yang tidak pernah berhenti,” kata penyanyi dan pelakon, Azza Elite. – HIBGLAM