Ernie Zakri lebih layak nyanyi lagu Astana – Nadeera

Penyanyi Nadeera tidak berkecil hati, malah menghormati keputusan Ernie Zakri sebagai penyanyi asal serta komposer bagi lagu Astana sekiranya mahu menarik penyertaan lagu tersebut daripada bertanding dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38).

Nadeera atau nama lengkapnya Farah Nadeera Zaini, 30, ketika dihubungi HibGlam berkata, Ernie selaku penyanyi asal dan komposer lagu Astana, mempunyai hak untuk menarik penyertaan lagu tersebut daripada bertanding di SFMM38.

Malah, dia juga bersetuju dan menyokong jika Ernie mahu menyanyikan lagu tersebut yang layak dipertandingkan dalam SFMM38, pada minggu ini.

Saya setuju. Kalau Ernie mahu menyanyikan lagu tersebut pun saya okay dan sokong. Sebab Ernie adalah penyanyi asal lagu Astana. Malah dia juga komposer untuk lagu tersebut.

“Memang saya akan sokong. Lagi pun saya rasa memang dia orang yang paling layak menyanyikan lagu Astana,” kata Nadeera kepada Kosmo! Online.

Menjelaskan lebih lanjut, bekas juara program Big Stage musim kelima (BS5) itu memberitahu dia cuma diminta oleh pihak syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment menggantikan Ernie menyanyikan lagu tersebut di pentas AFMM38 tanpa mengetahui masalah sebenar yang berlaku.

Sebagai penyanyi, Nadeera hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan kepadanya kerana beranggapan kedua-dua belah pihak (Rocketfuel dan Ernie) membuat keputusan selepas berbincang.

“Saya ditawarkan Rocketfuel untuk menggantikan Ernie menyanyikan lagu Astana. Bila orang suruh ganti, saya ganti sahaja tanpa mengetahui masalah yang berlaku.

Sebab mengikut pemahaman saya, pihak Rocketfuel dan Ernie sudah pun bersetuju dengan keputusan untuk jadikan saya pengganti.

“Jadi, saya pun bersetuju dan jalankan tanggungjawab sebagai penyanyi ganti sahaja,” katanya.

Tambah pelantun lagu Emas itu lagi, peluang itu diterima dengan hati terbuka, lebih-lebih lagi ini julung kali dia bakal beraksi di pentas separuh akhir Muzik-Muzik.

Ditanya mengenai kecaman yang dilontarkan peminat Ernie, Nadeera berkata mereka ada hak untuk meluahkan rasa tidak puas hati.

Bagi saya, mereka (peminat Ernie) berhak cakap apa sebab mereka yang undi lagu tersebut sehingga layak ke SFMM38.

“Cuma sekali lagi saya ingin tegaskan, saya betul-betul tidak tahu apa yang berlaku sewaktu ditawarkan sebagai pengganti. Saya menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat,” jelasnya.

Terdahulu, kecoh apabila lagu Astana ciptaan Ernie bersama Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman yang dicalonkan dalam SFMM38, digantikan oleh penyanyi Nadeera.

Selepas perkara tersebut tular dan peminat  meminta penjelasan daripada Rocketfuel Entertainment,  label terbabit mendakwa Ernie yang memutuskan untuk tidak menyanyikan lagu tersebut dalam SFMM38.

Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, bagaimanapun mendakwa tidak tahu apabila namanya digugurkan ketika pengumuman 30 lagu yang layak ke SFMM38, baru-baru ini.

Ernie menyifatkan keputusan menukar penyanyi lagu Astana tanpa pengetahuannya sebagai tidak menghormati dirinya selalu penyanyi asal.

Malah, isteri kepada penyanyi, Syamel itu turut menegaskan, jika lagu terbabit dinyanyikan Nadeera, dia bersama komposer lain akan menarik diri daripada SFMM38. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok