[VIDEO] Ernie boleh buat saya naik ‘syeikh’ – Aina Abdul

PENYANYI popular Aina Abdul menyifatkan pemilihan Ernie Zakri sebagai penyanyi jemputan pada konsert solonya di Singapura adalah pilihan yang tepat.

Kata pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani, 30, Ernie merupakan pilihannya sendiri dan merasakan mampu memberi persembahan hebat pada konsertnya nanti.

“Selepas melihat senarai pendek penyanyi undangan, seperti ada kekurangan. Kali ini saya memang ‘petik’ nama Ernie sebab sangat kagum dengan bakatnya.

“Kemudian ini adalah peluang terbaik untuk menutup mulut orang yang kerap membanding-bandingkan kami berdua,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dalam masa sama, Aina yang popular menerusi lagu Terus Hidup itu juga mahu melenyapkan tanggapan ramai mengenai dia dan Ernie tidak boleh bekerjasama untuk sesebuah projek.

“Saya mahu buktikan kuasa wanita itu wujud dan memadam persepsi ramai kami tak boleh bekerja bersama.

“Kita perlukan lebih banyak perkara positif dalam industri,” ujarnya.

Dia juga percaya pemilihan Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, mampu memberi impak hebat pada konsert tersebut.

Bahkan, Aina juga memberi bayangan bakal berduet dengan penyanyi lagu Boneka itu pada acara berkenaan.

“Saya pilih dia sebab mahu penyanyi yang betul-betul boleh menyanyi.

“Yang boleh bagi saya naik ‘syeikh’ dan membuatkan bulu roma meremang di atas pentas.

“Saya mahukan momen itu dan sudah lama tak merasakannya dengan penyanyi wanita. Jadi, Ernie adalah pilihan terbaik,” katanya lagi.

Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 itu juga bersyukur apabila undangannya menerima respons positif daripada pihak Ernie.

“Alhamdulillah dia setuju dan kami sudah pun berlatih sebuah lagu bersama.

“Saya pasti, peminat dan penonton yang hadir pasti akan menangis,” ujarnya tanpa berkongsi lagu yang akan dipersembahkan bersama Ernie.

Terdahulu, Aina mengumumkan bakal mengadakan konsert solonya di Singapura, A Night With Aina Abdul Live In Singapore bertempat di The Theatre Mediacorp pada 6 Januari tahun depan.

Konsert anjuran Neptune Presents dengan kerjasama Aina Abdul Entertainment itu akan digamatkan dengan 26 buah lagu popular sepanjang acara yang berdurasi selama dua jam 30 minit itu.

Persembahan pada malam itu nanti akan diiringi 15 pemuzik profesional yang diterbangkan dari Malaysia di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Mac Chew. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok