DIA ada hantar ‘voice note’ pada saya sebelum sidang media ini, minta saya terus kuat”.
Itu antara mesej diterima penyanyi Kaka Azraff daripada ibu saudaranya yang juga Ratu Rock Ella susulan kontroversi kontrak rakaman ditamatkan akibat lantang menyuarakan konflik Palestin-Israel.
Pemilik nama sebenar Noor Atiqa Noor Azraff itu berkata, antara pesanan Ella padanya agar jangan takut berhadapan isu bersama label dinaungi yang mencetuskan polemik dalam kalangan netizen.
“Sebenarnya saya terharu dapat sokongan moral banyak pihak yang menyuntik kata-kata semangat sama ada menerusi DM (mesej langsung) atau dalam Instagram dan aplikasi X.
“Ibu saudara saya, Ella yang saya panggil Uteh juga titipkan pesan minta saya ‘stay strong’, baca Bismillah sebelum mulakan (sidang media) dan dia katakan ‘Uteh with you’ maksudnya Ella bersama Kaka.
“Dia kata usah takut dan jangan risau. Dia faham solidariti serta prinsip saya demi Palestin, begitupun juga ramai lagi rakyat Malaysia lain yang berdiri di belakang saya,” katanya selepas sidang media khas, malam tadi.
Pertemuan dengan media yang disertai peguam dari Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil itu adalah bagi menjelaskan tuntutan meminta Warner Music Malaysia memberi alasan munasabah mengenai kontraknya ditamatkan lebih awal iaitu sehingga 31 Disember ini.
Malam tadi penyanyi Bukan Hal Aku itu memberikan penjelasan terhadap isu penamatan kontrak dengan syarikat tersebut menerusi sidang media khas selepas beberapa hari mengunci mulut
Sesi itu diadakan bagi menjelaskan kedudukan kontrak di antara Kaka dengan Warner Music Malaysia yang menjadi topik hangat sejak awal minggu ini.
Dalam sidang media itu, Kaka, 34, mengakui sebagai antara artis paling lama bersama label terbabit, malah yang pertama ditamatkan kontrak dengan cara mengejut.
Mengakui masih terlalu awal untuk melihat impak diberhentikan secara tiba-tiba, dia menyifatkan situasi dilaluinya ini sebagainya jihad kecil yang mengukuhkan lagi pendirian menyokong perjuangan Palestin.
“Setakat ini tiada ‘show’ saya yang dibatalkan, saya cuma mahu tengok perkara ini dari sudut yang positif sebab saya tahu berada di pihak yang benar.
“Tiada penyelesaian biarpun rasa ditindas, namun saya tidak berhenti di sini, kerana ini adalah permulaan untuk saya melangkah dengan kaki sendiri dan saya menyebarkan perkara positif.
Sementara itu, peguamnya Aidil Khalid berkata pihaknya masih menunggu perbincangan dengan pengurusan tertinggi Warner Music Malaysia bagi memperincikan perkara tertangguh.
“Ada beberapa hal lagi belum dijelaskan terutama berkaitan royalti serta perincian lain yang kita harap dapat diselesaikan secara bersama,” katanya.
Semalam, penyanyi itu mendakwa notis dari Warner Music Malaysia tidak menyatakan sebarang alasan konkrit syarikat berkenaan menamatkan kontraknya pada 31 Disember depan, sedangkan masih berbaki beberapa tahun. – HIBGLAM