Ed McVey ‘jelmaan’ Putera William

DIBERI kepercayaan menggalas watak dalam sebuah naskhah hebat antarabangsa adalah impian yang sentiasa dikejar setiap pelakon.

Tidak semua orang memiliki peluang tersebut, lebih-lebih lagi berjaya pula sebaris dengan pelakon ternama lain.

Semua itu bukan lagi sesuatu yang mustahil buat si jejaka tampan, Ed Mcvey apabila tersenarai sebagai keluarga The Crown menerusi Netflix.

The Crown musim keenam merupakan debut buat Mcvey sebagai pelakon, sekali gus meledakkan namanya apabila diberi tanggungjawab menggalas peranan pewaris takhta Britain iaitu Putera William dalam naskhah tersebut.

Si putera

Tidak pernah meletakkan harapan tinggi, Mcvey benar-benar terkejut apabila terpilih memainkan watak William selepas hampir enam bulan melalui proses uji bakat.

Nama Ed McVey mula menjadi sebutan dunia selepas menjayakan watak Putera William dengan cemerlang.

Akuinya, sepanjang tempoh 24 tahun, dia tidak pernah menyedari wajahnya boleh kelihatan seperti William pada usia remaja iaitu awal 20-an.

Sangat gementar kerana ini drama popular, namun tidak menyangka menjadi naskhah sulung saya sebagai pelakon dan memang sangat terkejut apabila diterima untuk watak besar itu.

“Sebenarnya tidak sangka pengarah melihat rupa paras saya ada persamaan dengan ciri-ciri seperti William, termasuk cara pandangan dan senyuman. Mungkin inilah dikatakan rezeki,” katanya.

Bercerita lanjut tentang pendekatan mempersembahkan karakter William, Mcvey melakukan banyak ‘kerja rumah’.

Dia mempelajari setiap gerak badan dan cara pemikiran anak sulung pasangan diraja Raja Charles III dengan mendiang Puteri Diana itu.

McVey tidak menghiraukan tohmahan fanatik institusi beraja Britain yang mencerca dirinya menjayakan watak ikonik PuteraWilliam dalam The Crown.

Graduan Akademi Drama London itu turut mengakui, karakter, emosi dan kehidupan William sangat kompleks untuk diselami.

Pada awalnya agak sukar tetapi selepas beberapa bulan menyelami kehidupan William, saya dapat rasakan kami mempunyai persamaan seperti mengutamakan orang lain mengatasi diri sendiri.

“Titik persamaan itu membuatkan saya semakin mudah untuk menjadi William. Saya juga turut mempunyai guru vokal yang mengajar intonasi suara seperti William.

“Perkara tersebut nampak kecil tetapi impaknya besar untuk karakter tersebut,” ujar anak muda yang membesar di Devon, England itu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok