PENYANYI dan pelakon, Bunga Citra Lestari atau BCL dilihat tidak lagi menggunakan gabungan namanya bersama arwah suami, Ashraf Sinclair apabila telah menggugurkan perkataan ‘Sinclair’ dalam akaun Instagram miliknya.
Sebelum ini, selebriti terkenal Indonesia itu menggunakan nama akaun Instagramnya @bclsinclair, namun telah menukarnya kepada nama baharu iaitu @itsmebcl.
Tindakan Bunga menggugurkan nama arwah suaminya yang juga pelakon asal Malaysia itu telah menarik perhatian peminatnya yang rata-rata berasa sedih dengan tindakan tersebut.
Ramai pengguna Instagram melahirkan rasa kesal dan kecewa apabila selebriti berusia 40 tahun itu tidak mengekalkan nama ‘Sinclair’ dipercayai selepas pelantun lagu Cinta Sejati terbabit mengumumkan bakal berkahwin dengan pasangan pilihannya, Tiko Wardhana tidak lama lagi.
“Sedih sangat nama akaun Instagramnya (username) ditukar,” luah seorang netizen.
“Kenapa hati saya sakit dan tidak rela BCL bakal berkahwin lagi,” kata seorang lagi netizen.
“Terkejut dan sedih namanya sudah tidak ada lagi perkataan ‘Sinclair’,” ujar seorang peminatnya.
Bagaimanapun, tidak kurang juga segelintir pengikutnya yang memberikan sokongan kepada Bunga untuk berkahwin dan kembali bergelar isteri dengan calon suaminya.
“BCL hanya ingin meneruskan kehidupan dan dia berhak untuk bahagia,” tulis netizen.
“Sejujurnya saya ikut gembira apabila BCL mengumumkan bakal berkahwin tidak lama lagi,” ujar seorang lagi peminatnya.
Terdahulu, berita pernikahan serta resepsi BCL dan Tiko, 43, menjadi sebutan sejak beberapa hari lalu selepas tular kad jemputan perkahwinan yang tertera nama pasangan itu.
Pada ketika itu, netizen seolah-olah tidak memberi restu apabila menyerang akaun Instagram BCL kerana berasakan dia sudah melupakan arwah suaminya.
Pelbagai sindiran mengisi ruangan komen sehingga kisah dia menempah lot kosong bersebelahan kubur Ashraf juga diungkit semula.
Begitupun, ketika diri dilemparkan kecaman, ibu mentuanya, Khadijah Abdul Rahman tampil menyatakan restu.
Khadijah secara terang-terangan meminta menantu kesayangannya dapat meneruskan kehidupan dan mencari kebahagiaan demi masa depannya.
Terdahulu, Allahyarham Ashraf menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2008 itu dikurniakan seorang putera, Noah yang kini berusia 12 tahun. – HIBGLAM