PELAKON Dini Schatzmann bertindak menutup ruangan komen hantaran gambar dalam Instagram membabitkan minuman satu jenama popular selepas berdepan serangan netizen.
Rata-rata menyifatkan suami kepada aktres Janna Nick itu tidak sensitif apabila masih mempromosikan produk yang mempunyai kaitan dengan Israel.
“Minuman kegemaran sepanjang masa yang melengkapkan setiap hidangan dan membuatkan semuanya sempurna,” tulisnya ringkas pada ruangan kapsyen.
Pelbagai respons kemarahan dapat dilihat dalam ruangan komen termasuk ugutan segelintir pengikut yang mahu memboikot pemilik nama sebenar Dini Azan Schatzmann, 29, itu.
“Minum darah Palestin, boikot,” tulis seorang netizen.
“Tidak sensitif langsung,” kata seorang pemilik akaun lain.
Barangkali enggan perkara tersebut menjadi isu berpanjangan, Dini kemudian mengambil langkah menutup ruangan komen.
Konflik berdarah Palestin-Israel yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat Palestin serta mengakibatkan penderitaan berterusan menjadi perhatian dunia.
Malah, ramai selebriti tempatan menunjukkan sokongan terhadap perjuangan Palestin dengan berkongsi pelbagai hantaran di laman sosial selain mengutuk Zionis seperti mana yang dilakukan jutaan masyarakat global lain. – HIBGLAM