MENYEDARI cabaran dalam memastikan ketelusan pemarkahan bagi Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38) tidak dipertikai, produksi menapis ketat barisan juri yang diamanahkan memilih 12 calon Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).
Penerbit Eksekutif SFMM38, Sufian Che Isa berkata, selain menilai kewibawaan dan pengalaman, latar belakang setiap individu yang duduk di kerusi penilai lagu juga menjadi kriteria utama.
“Soal penjurian adalah subjektif, namun pihak produksi memastikan setiap juri yang dilantik mempunyai kredibiliti, tidak biasa selain disahkan tiada kaitan dengan mana-mana lagu.
“Pada masa sama kita mungkin tidak mampu menilai dari sudut dalaman atau pemikiran seseorang kerana masing-masing mempunyai penyanyi kegemaran.
“Namun, kami mempunyai ‘jabatan forensik’ sendiri yang boleh memastikan juri dilantik membuat pengiraan markah dengan telus dan tidak pilih kasih,” katanya selepas pengumuman SFMM38, baru-baru ini.
Menurut Sufian lagi, seperti edisi terdahulu mereka yang dipertanggungjawabkan sebagai juri adalah terdiri daripada pelbagai bidang dan kepakaran.
Malah, kata produser berpengalaman itu, tidak ramai penggiat seni yang layak duduk di kerusi juri sedia memikul amanah berikutan kekangan masa selain mengakui takut berdepan tekanan.
“Sebenarnya tidak ramai yang berani menyahut cabaran menjadi juri disebabkan bebanan serta tekanan yang sangat tinggi daripada pelbagai segi.
“Disebabkan isu itu juga mendorong kami memilih orang yang sama untuk menggalas tugas ini hinggakan orang luar juga boleh nampak senarionya.
“Begitupun, pemilihan mereka bukan tangkap muat kerana selain beberapa kriteria utama tadi, kami akan pastikan mereka tidak terkait dengan mana-mana syarikat rakaman, komposer, penulis lirik atau penyanyi,” ujarnya.
Mengulas ketiadaan beberapa penyanyi asal apabila diambil alih penyanyi gantian pada peringkat SFMM38, Sufian memaklumkan, keputusan dibuat atas persetujuan bersama selain termaktub dalam syarat ditetapkan.
“Perlu difahami, Muzik Muzik dan AJL mempertandingkan karya gubahan bersama komposer dan penulis lirik, namun kepentingan penyanyi juga diperlukan dalam menghasilkan lagu yang bagus.
“Namun, apabila ada penyanyi asal tidak dapat memberikan komitmen atas sebab tertentu, kita menghormati keputusan tersebut dan pemilihan pengganti juga dibuat menerusi buah fikiran bersama.
“Contohnya macam lagu Astana nyanyian Ernie Zakri, tempatnya diganti Nadeera berikutan masalah membabitkan label, manakala Dua Darjat nyanyian Black diganti pula Ara Johari disebabkan Black mengalami masalah kesihatan.
“Faizal Tahir pula sejak awal sudah memaklumkan tidak akan menyertai AJL. Apapun kalau boleh kami memang mahu penyanyi asal beraksi,” ulasnya.
30 lagu berentap
Sebanyak 30 lagu berentap termasuk Inilah Jalannya nyanyian Masdo, manakala lagu dan lirik ciptaan Noh Salleh; Oh Wanita (Khai Bahar/Harry Khalifah/Harry Khalifah); Waktu (Hasif Upin & Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat); Kucuma (Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee & Ezra Kong/A Ramlee & Ezra Kong); Kaulah Syurga (Khai Bahar & Lia Aziz/Asfan Shah/Siti Rosmizah); Tusuk (Shiha Zikir/Iqie Hugh & Omar K/Iqie Hugh & Omar K); Hasrat (Amir Jahari/Amir Jahari); Ilusi (Marsha Milan Ft Hazama/Iqie Hugh, Shazreq Azeman & Omar K/Iqie Hugh, Shazreq Azeman & Omar K); Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul/Aina Abdul) dan Bahagia Milik Kita (Syamel/Syamel & Ahmad Jeffny/Syamel).
Lagu lain Racun (Elica Paujin Ft Dem Lepak Boyz/Iqie Hugh & Aniq Iffat/Iqie Hugh & Aniq Iffat); Korbankan Kita (Mojo/Edry Abdul Halim); Kamu Kamu (Wani Kayrie/Ziin/Jerry); Alah Bisa (Amira Othman Ft Faizal Tahir/Glow Rush/Mage, Nick Ariff, Glow Rush, Faizal Tahir & Acap Salim); Astana (Ernie Zakri/Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri & Syamel/Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri & Syamel); Cinta Hanya Buatan (Muna Shahirah & Afieq/Gouffran & Ibnu/Gouffran & Ibnu); Cinta Sahabiyah (Datin Alyah/Datin Alyah & Omar K/Datin Alyah); Menyantun Kasih (Siti Nordiana/M Nasir/Keon); Sejuta Maaf (Liza Hanim/Sirkhan & Rinkarnaen/ Sirkhan) dan Sutera (Aishah Retno/Aishah Retno).
Melengkapkan senarai ialah Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat); Dua Darjat (Black Hanifah/Nyawablack & Nyawablack/Amintot); Santai (Faizal Tahir/Faizal Tahir); Budi (Kmy Kmo, Luca Sickta Ft Sufian Suhaimi/Kmy Kmo & Luca Sickta); Berubah (De Fam/Mage, Faizal Tahir & Sophia Liana/Mage, Faizal Tahir & Sophia Liana); Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali/Amylea/Amylea); Bintang (Hael Husaini/Hael Husaini); Darah (Marsha Milan/Naim Daniel & Firdaus Rahmat/Naim Daniel & Firdaus Rahmat); Aku, Hati Dan Perasaan (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli) dan Di Sebalik Rahsia (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli & Sharon Paul/Haqiem Rusli & Fahmi Zafran).
SFMM38 yang dihoskan Izzue Islam dan Fiza Frizzy bersiaran secara langsung selama tiga hari berturut-turut dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam bermula semalam 15 Disember hingga 17 Disember pukul 3 petang.
Setiap episod akan dimeriahkan persembahan artis jemputan iaitu Noraniza Idris pada episod pertama disusuli Akim & The Majistret (episod kedua) dan Search (episod ketiga).
Malam kemuncak AJL38 pula dijadualkan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 3 Mac tahun depan. – HIBGLAM