David Teo selar isu poster Sijjin, perlu lebih sensitif

ISU poster filem seram Indonesia, Sijjin yang didakwa menggunakan kalimah Allah SWT sewenang-wenangnya dan tidak sensitif dengan agama Islam terus mendapat kritikan orang ramai.

Turut menyelar poster tersebut ialah penerbit terkenal, Datuk David Teo yang berpendapat hal berkaitan agama tidak sepatutnya digunakan sesuka hati walaupun hanya untuk sesebuah karya filem.

Bukan semua benda boleh buat untuk berkarya. Perlu ada rasional agar tidak melanggar hukum-hakamnya.

“Sebagai seorang yang dekat dalam masyarakat yang memegang agama Islam, kita perlu sentiasa peka dalam hal ini,” katanya dalam Instagram.

Dia yang juga Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) turut berharap isu membabitkan sensitiviti agama dalam mana-mana filem antarabangsa mahupun tenpatan tidak berulang dan dijadikan iktibar.

Semoga isu ini tidak lagi berulang untuk semua yang berada di industri seni kita,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) iaitu Pansha pula berkata, setiap bahan promosi bagi mana-mana filem antarabangsa mahupun tempatan perlulah melalui proses penapisan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) terlebih dahulu.

Isu berkaitan agama sangat sensitif dan sepatutnya pihak produksi mahupun pengedar perlu peka mengenai hal ini.

“Selalunya setiap bahan promosi akan ditapis dengan ketat oleh pihak LPF. Justeru saya harap isu sebegini tidak berlaku lagi,” katanya kepada HibGlam.

Sebelum ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) juga sudah mengarahkan Golden Screen Cinemas (GSC) selaku pengedar filem seram terbitan syarikat produksi Indonesia, Sijjin untuk menarik balik dan membuat penukaran poster.

Arahan tersebut dikeluarkan susulan poster rasmi dilihat menyentuh sensitiviti umat Islam apabila memaparkan kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Arab pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai sedang dirasuk.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya sudah berbincang dengan GSC dan mengarahkan supaya membuat penukaran kepada poster baharu.

Hasil tinjauan HibGlam mendapati poster kontroversi tersebut tidak lagi digunakan oleh GSC dalam mana-mana platform media sosial termasuk laman web rasmi mereka.

GSC sebaliknya menggunakan poster memaparkan jenazah yang dikelilingi sekumpulan individu menyarung telekung berwarna putih.

Paparan kalimah Allah dan ayat al-Quran pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai sedang dirasuk itu disifatkan keterlaluan malah tidak sepatutnya digunakan dalam mana-mana bahan promosi filem.

Susulan itu, rata-rata orang ramai memberi reaksi negatif selain menganggap perkara tersebut seperti mempermainkan agama Islam.

Isu berkaitan poster tersebut turut dibahaskan oleh beberapa penceramah dan pendakwah bebas yang tertanya-tanya bagaimana bahan promosi tersebut mendapat kelulusan untuk digunakan.

Filem Sijjin arahan Hadrah Daeng Ratu yang dibintangi Ibrahim Risyad, Anggika Bolsterli, Messi Gusti bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula esok. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok