Cerai? Itu yang Awak Nak? – Alif Teega

BAGAI sebuah sinetron, isu poligami membabitkan pempengaruh media sosial Alif Teega yang tular sejak minggu lalu sentiasa memasuki episod baharu.

Hal ini kerana selepas keluarga terdekat Aisyah Hijanah mendakwa Alif mengasari isterinya itu, kini timbul pula kisah laporan perubatan berkenaan perkara tersebut.

Adik kepada Aisyah, Amirul Adni Rustam dikatakan memuat naik laporan perubatan dipercayai milik Aisyah di Insta Story sehingga dijadikan konten pelbagai akaun laman sosial.

Kes poligami pasangan yang bakal menimang cahaya mata ketiga itu turut tular di negara jiran terutama Indonesia.

ISU rumah tangga Alif Teega yang berkahwin dengan pekerja syarikat miliknya turut tular di Indonesia.

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku pada 10 Oktober lalu, Aisyah didakwa mengalami bengkak pada lengan susulan pertengkaran antara mereka.

Dalam rekod sama, ibu muda itu juga didakwa telah dipukul beberapa kali dalam tempoh setahun dan kali terakhir adalah pada 8 November lalu.

Bagi merungkai persoalan ramai, Alif, 29, yang mengakui reda berdepan kecaman enggan berdiam diri, sebaliknya menangkis tuduhan tersebut.

“Alhamdulillah, saya ada nampak laporan perubatan isteri saya, Aisyah. Saya tak mampu pun nak ulas tentang hal ini. Sebab apa sahaja yang saya katakan dianggap tipu.

“Sebab semua orang sedang membenci saya. Saya mengaku apa yang saya buat. Saya bernikah, saya mengaku. Tapi bab pukul isteri itu sangat melampau,” katanya.

Pada masa sama, usahawan yang dilahirkan di Leeds, United Kingdom itu sudah meminta keluarga isteri pertamanya berhenti melontarkan fitnah.

“Banyak kali saya beritahu keluarga Aisyah supaya berhenti memfitnah dan memburukkan keadaan kerana keadaan saya dengan Aisyah di sini sangat baik.

“Awak nak tengok apa? Cerai? Itu yang awak nak? Sejak dulu awak burukkan saya. Tak cukup dengan keluarga, sekarang orang luar.

“Saya jumpa abang-abang awak tak ada masalah, batang hidung awak saya tak jumpa,” katanya merujuk kepada seseorang dalam laman sosialnya.

ISU rumah tangga Alif Teega yang berkahwin dengan pekerja syarikat miliknya turut tular di Indonesia.

Dalam pada itu, pemilik nama Mohd Hazalif Mohd Hazani mengakui sudah penat untuk melayan kecaman yang tidak berkesudahan.

Terdahulu, Alif mengumumkan sudah bernikah lain bagi mengelak timbul sebarang fitnah terhadap dirinya, isteri dan keluarga mereka.

Aisyah pula sebelum ini mencuri perhatian netizen apabila mendedahkan rumah tangganya sedang diganggu pihak ketiga yang juga merupakan pekerjanya sendiri.

Susulan berita pernikahan kedua itu juga, tular sekeping gambar memaparkan individu dikatakan mirip Alif melangsungkan pernikahan di Songkhla, Thailand.

Alif dan Aisyah yang mempunyai jutaan pengikut di Instagram serta TikTok terkenal dengan kandungan berunsur informasi agama dan motivasi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok