Buat masa sekarang belum ada perancangan untuk bernikah. Biarlah si dia habiskan belajar dahulu.”
Demikian kata vokalis kumpulan OAG, Radhi yang memaklumkan belum merancang mendirikan rumah tangga buat kali ketiga bersama kekasihnya yang juga pelajar di sebuah universiti awam selepas tiga tahun perkenalan.
Ujar Radhi atau nama lengkapnya, Muhammad Radhu Razali, 46, buat masa ini dia mahu memberi ruang kepada gadis berusia 22 tahun tersebut menamatkan pengajiannya terlebih dahulu, selain mahu fokus menerbitkan album terbaharu pada tahun hadapan.
“Kami hanya berserah kepada Allah SWT. Kalau Allah suruh sabar dulu, kami sabar, itu sahaja,” katanya kepada HibGlam.
Menurut Radhi, dia enggan bercakap lebih perihal berumah tangga kerana tidak tahu apa bakal terjadi pada masa hadapan.
Perkara begini (perancangan untuk berkahwin), kita tidak boleh cakap banyak sebab tidak tahu lagi bagaimana. Biarkan dia habis belajar dan buat ibu bapanya gembira.
“Begitu juga saya. Kalau Allah gembira dengan kerja saya, maka Insya-Allah akan ada ke arah perkahwinan.
Tapi sebelum berkahwin buat kali ketiga, saya mahu keluarkan album sebab dua perkahwinan sebelum ini, saya langsung tidak sempat hasilkan sebarang album. Jadi kalau saya kahwin dulu, memang akan lambatlah untuk keluarkan album nanti,” katanya.
Radhi yang ditemui ketika program Malam Tautan Kasih 2023, baru-baru ini turut memberitahu secara rasmi nama kumpulannya, OAG yang sebelum ini dikenali sebagai Old Automatic Garbage dan Orang Asia Genius, ditukar kepada Only Allah Greatest.
Kata Radhi, perubahan nama tersebut bertepatan dengan konsep album yang bakal diketengahkan nanti yang memuatkan lagu berunsurkan kerohanian.
OAG kini dikenali secara rasmi sebagai Only Allah Greatest. Kami akan terus berkarya tetapi dengan mengetengahkan muzik dan zikir. Bagi saya, muzik tak salah sekiranya bawa dalam keadaan baik.
“Kami akan jalankan sesi rakaman pada Januari depan dan lagu Soulawatt akan jadi single pertama dalam album ini. Tahun depan boleh disiapkan. Kami akan buat sebanyak tiga fasa rakaman,” katanya.
Terdahulu, Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 namun berpisah pada 8 Jun2010.
Menerusi perkahwinan pertama itu, Radhi dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 17 tahun.
Radhi kemudian berkahwin buat kali kedua dengan Nur Shahira Ayu Zahiri atau Ayu pada 14 April 2014 tetapi bercerai talak satu pada 16 Julai 2019 di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Aisyah, 8, dan Muhammad, 6. – HIBGLAM