TAMPIL dengan jalan cerita berbeza, rumah produksi QS Creative Sdn. Bhd. bakal mempersembahkan sebuah supertele eksklusif terbaharu terbitannya berjudul Amin di saluran Astro First pada 7 Disember ini.
Supertele komedi seram Rodzee Razak itu bakal mempertaruhkan barisan pelakon hebat tanah air antaranya Joey Daud, Wanna Ali, Adam Corrie, Jay Iswazer, Zhalif Sidek, Idlan Pon Pon dan Silfeny Osman.
Menurut Rodzee, Amin bukan supertele komedi seram klise kerana tampil dengan jalan cerita menarik, membabitkan aksi dan komedi.
Bukan itu sahaja, Amin juga merupakan sebuah naskah yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga walaupun bergenre seram.
“Amin dihasilkan dengan konsep ‘luar kotak’ dan boleh diterima penonton. Pun begitu, karya ini amat sesuai untuk ditonton seisi keluarga.
“Menariknya, supertele ini menampilkan kehidupan alam roh dan alam nyata. Alhamdulillah, walaupun proses penggambarannya hanya mengambil masa 14 hari, supertele ini berjaya disiapkan dengan jayanya,” ujar Rodzee.
Menampilkan gandingan kali pertama antara Joey Daud dan Wanna Ali, kedua-dua pelakon itu telah dipilih sendiri oleh sutradara, walaupun karakter kedua-duanya sangat bertentangan.
Menurut Rodzee, dia memilih Wanna kerana mahu mendapatkan karakter kontra dengan Joey yang terkenal dengan watak komedi.
“Saya mahu beritahu bahawa orang secantik Wanna juga boleh ‘jatuh cinta’ dengan Joey dalam supertele ini, walaupun sudah berumur.
“Lagi pun, saya yakin Wanna mampu membawakan wataknya dengan baik walaupun jauh berbeza daripada apa yang pernah dilakonkannya sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rodzee turut berharap agar penonton dapat menerima karya yang dihasilkan itu, sekali gus mendapat sambutan serta maklum balas positif daripada orang ramai.
“Saya berharap agar cerita ini mendapat sambutan daripada penonton dan mereka berpuas hati dengan karakter serta jalan cerita yang ditampilkan.
“Saya tahu, bukan mudah sebenarnya untuk memuaskan hati penonton, namun saya yakin Amin tidak akan mengecewakan anda,” katanya.
Sementara itu, pelakon Jay Iswazer berkata, dia berasa bertuah terlibat dalam naskhah terbabit kerana berpeluang membawakan watak berbeza.
“Dalam Amin, saya memegang watak sebagai Zain Affendi iaitu seorang penyiasat yang akhirnya berlaku sesuatu ke atas dirinya.
“Disebabkan hal tersebut, saya telah masuk ke alam roh. Tentang pengalaman pula, memang tidak dinafikan penggambaran dijalankan dalam masa singkat, iaitu selama 14 hari sahaja.
“Paling tidak dapat saya lupakan adalah sewaktu menjalani penggambaran pada hari terakhir, kerana keesokkannya umat Islam menyambut 1 Ramadan (puasa),” kata Jay.
Supertele Amin yang bakal menyaksikan Joey Daud tampil dengan karakter lelaki lurus bendul mengisahkan tentang tiga roh sesat yang mencetus pelbagai kejadian misteri.
Amin boleh ditonton secara eksklusif di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 7 Disember ini. – HIBGLAM