Pembedahan bariatrik tiada kaitan dengan IVF – Alyah

PENYANYI Datin Alyah menangkis dakwaan melakukan pembedahan bariatrik disebabkan mahu menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) bagi mendapatkan zuriat.

Akui pemilik nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan itu, prosedur yang dijalani pada Mac tahun lalu lebih kepada ingin kembali cergas selepas berdepan pelbagai masalah kesihatan berikutan isu berat badannya.

Saya tahu ini jawapan klise, tiada kaitan langsung dengan IVF sebab soal zuriat saya sudah serahkan kepada Allah SWT, Dia adalah sebaik-baik perancang.

“Semuanya disebabkan gastrik kerana diet berpanjangan memandangkan sebelum ini saya dah ikhtiar macam-macam termasuk ambil ubat kurus, diet dan bersenam.

Bila makan ubat kurus, saya kerap masuk hospital sebab kurang air dalam badan, ini yang saya tak kongsi dan bila bersenam, kaki saya pula sakit sampai terpaksa solat atas kerusi,” katanya kepada media selepas Kempen Lose to Win anjuran Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur.

Enggan lagi soal zuriat dijadikan bahan cerita, isteri kepada maestro muzik Datuk Ramli MS itu mengakui tetap bahagia melayari kehidupan berdua.

Malah, dia yang dikurniakan ramai anak saudara termasuk cahaya mata arwah abangnya serta mempunyai saudara terdekat yang perlu diberi perhatian menganggap setiap perkara perlu dilihat secara positif.

Saya punya adik-beradik ramai dan tiada seorang pun bermasalah mendapatkan zuriat, tapi apabila saya mengikuti perkongsian Ustaz Wadi, beliau mengatakan sama ada dapat anak atau tidak, dua-dua juga rezeki.

“Saya fikir betul sebab saya ada anak saudara yang ayahnya iaitu abang saya sudah meninggal dunia. Kita nak kena tengokkan, begitu juga dengan sepupu. Alhamdulillah, Tok Ram (Ramli MS) pun okay,” kongsinya.

Sebagai rekod, Alyah dan Ramli berkahwin pada Mac 2013 dalam satu majlis kecil yang diadakan di Indonesia dan belum dikurniakan cahaya mata sehingga ke hari ini.

Mengenai pembabitan dalam Kempen Lose to Win, Alyah bersama penyanyi Datuk Aishah berkongsi perjalanan mereka menjalani program pengurusan berat badan di bawah pemantauan Dr. Mustafa Mohamed Taher untuk meningkatkan kesihatan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Penyertaan program ini dibuka kepada komuniti tempatan dalam kawasan Lembah Klang membabitkan pesakit obes dengan Index Jisim Tubuh 35 ke atas iaitu selepas lulus ujian klinikal bagi memastikan mereka sesuai menjalani pembedahan bariatrik.

“Dalam jangka panjang, kempen ini dijangka mampu mengubah lanskap kesihatan di Malaysia apabila semakin ramai orang awam lebih aktif dalam meningkatkan gaya hidup mereka,” katanya.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok