GAYA rambut ‘petak’ dan gaya nyanyian vokalis asal Kuching, Sarawak itu pernah menjadi ikutan anak-anak muda suatu masa dahulu.
Malah, penyanyi yang memperjuangkan genre muzik rock alternatif menerusi kumpulannya, OAG itu juga boleh dianggap sebagai perintis irama tersebut di Malaysia, sejak mula bertapak dalam industri pada sekitar tahun 1992.
Lagu-lagu dendangannya seperti Slumber, Generasiku dan Merpati Putih menjadi siulan peminat dan menjadi fenomena yang meledakkan lagi nama OAG atau Old Automatic Garbage, sebelum ditukar kepada Orang Asia Genius.
Hari ini, seiring dengan perjalanan waktu, vokalisnya, Radhi terlihat lebih matang, malah mahu membawa perubahan terhadap OAG yang kini ditukar namanya kepada Only Allah Great (Hanya Allah Berkuasa) dengan memperkenalkan lagu-lagu bercorak kerohanian.
Menurut Radhi, 46, dia mahu mengubah corak muzik yang perjuangkan kerana mahu berkongsi manfaat yang lebih baik dengan peminat yang telah lama mengikuti perjalanan OAG.
OAG kini dikenali dengan nama baharu, iaitu Only Allah Great dengan mengetengahkan lagu-lagu berunsur kerohanian, zikir dan selawat yang bakal dimuatkan dalam album terbaharu nanti.
“Saya rasa, sekarang adalah masa yang sesuai untuk berubah ke arah yang lebih positif, tanpa memikirkan soal keuntungan,” ujar bapa kepada tiga orang anak itu.
Tambah Radhi atau nama lengkapnya Muhammad Radhi Razali itu, dia turut menganggap selawat merupakan ‘ubat’ untuk mendapatkan ketenangan jiwa, dan mahu berkongsi karya sebegitu untuk memberi manfaat yang lebih baik kepada peminatnya.
“Saya anggap selawat ini umpama ubat kepada jiwa. Jika diberi peluang, saya masih mahu berkarya. Tetapi dengan tujuan berbeza iaitu memperkenalkan konsep kerohanian.
Alhamdulillah, Allah SWT beri saya peluang walaupun ambil masa 30 tahun. Saya mahu buat perkara yang menjurus ke arah kebenaran.
“Ini adalah suatu perkara besar, walaupun mungkin ada yang menganggap saya tidak serius apabila mahu mengetengahkan konsep kerohanian dalam muzik saya,” katanya yang bakal menjadikan lagu berjudul Soulawatt sebagai single pertama untuk album nanti.
Sambil menarik nafas panjang, Radhi memberitahu sebelum ini dia pernah beberapa kali terdetik hati untuk bersara daripada dunia seni.
“Niat itu tidak berjaya kerana saya fikir, Allah masih mahu saya teruskannya, tapi dengan cara berbeza.
“Sebenarnya bila difikirkan semula, masih banyak sisi baik yang boleh ditonjolkan,” katanya.
Selain berkongsi tentang album terbaharunya, Radhi turut berkongsi keadaan dirinya apabila memberitahu kini berdepan dengan masalah katarak pada mata kirinya sehingga menyebabkan penglihatannya menjadi kabur.
“Tahun 2020, saya dapat tajaan untuk merawat masalah katarak dan telah menjalani pembedahan pada mata kanan tapi sebelah kini saya biarkan dulu.
“Kemudian, ibu saya jatuh sakit dan saya putuskan untuk menjaganya. Kemudian saya terus biarkan mata sebelah kiri sampai akhirnya pandangan menjadi semakin kabur,” ujarnya.
Masalah katarak yang dihidapinya itu memang mengganggu kehidupan hariannya kerana menyebabkan dia tidak seimbang.
“Memang menyusahkan. Kalau tutup sebelah mata, baru boleh nampak dengan jelas. Kalau tidak, pandangan jadi kabur dan tidak seimbang. Sudah lebih setahun saya alami masalah ini.
“Insya-Allah saya akan merawatnya secepat mungkin dengan berunding dengan doktor untuk merawat masalah ini,” katanya. – HIBGLAM