Alif Satar cedera dilanggar kereta

MALANG tidak berbau apabila selebriti serba boleh, Alif Satar berdepan saat cemas apabila terlibat salam satu kemalangan jalan raya.

Ketika kejadian, Alif dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengerjakan solat Jumaat, petang tadi.

Pengurus Alif, Dina sewaktu dihubungi Kosmo! Online memberitahu, keadaan penyanyi, pelakon dan pengacara itu tidak membimbangkan, namun perlu ditahan di wad di salah sebuah hospital swasta untuk pemantauan lanjut.

“Alif terlibat kemalangan petang tadi semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas solat Jumaat. Dia naik skuter dan dilanggar sebuah kereta.

“Akibat kemalangan tersebut, Alif mengalami luka-luka dan telah dikejarkan ke hospital oleh orang awam yang menghubungi ambulans,” ujarnya.

Kata Dina lagi, kemalangan tersebut telah berlaku berhampiran Istana Negara ketika pelantun Lelaki Seperti Aku itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak di Hartamas.

Hanya mengalami luka-luka, Alif bagaimanapun terpaksa ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut dikhuatiri ada kecederaan dalaman.

“Saya pun tidak pasti berapa lama Alif akan ditahan di hospital. Sama-samalah kita doakan supaya dia tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Terdahulu, pensohor media sosial yang juga usahawan, Wak Doyok berkongsi beberapa keping gambar dalam akaun X miliknya, menunjukkan Alif, 33, terbaring di atas jalan dan diusung menaiki sebuah ambulans selepas terbabit dalam kemalangan.

“Marilah kita doakan sahabat saya, Alif Satar. Sebentar tadi dia kecelakaan motosikal di depan saya. Alhamdulillah semua baik-baik sahaja,” tulisnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok