Al-Maqari’ layak ke separuh akhir Pentas Marhaban

MESKIPUN terpalit dengan kontroversi, kumpulan Al-Maqari berjaya membuktikan bahawa mereka layak dengan memberi persembahan hebat sekali gus mara ke peringkat separuh akhir Pentas Marhaban menewaskan kumpulan Qalbun Hadi.

Sungguhpun begitu, ramai berpendapat Al-Maqari mara dengan mudah kerana kumpulan tersebut sudah dikenali dan mempunyai lebih pengalaman berbanding dengan kumpulan yang lain.

Bahkan, dua orang anggota kumpulan Al-Maqari iaitu Zainur Irsyadi Zainal adalah juara program Muazin dan Faris Hadi Taufiq merupakan naib juara. Selain hos program tersebut, Tilmiz Fahmi juga merupakan anggota kumpulan Al-Muqari.

Menurut Penerbit Pentas Marhaban, Nurul Ain Mohamed, tiada sebarang isu berhubung kemaraan kumpulan Al-Maqari ke pentas separuh akhir kerana mereka dinilai oleh juri profesional dan juri jemputan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak produksi.

Walaupun ini pertembungan pertama antara kumpulan lelaki dan perempuan, pemarkahan juri tetap sama iaitu mereka menilai daripada segi suara, kreativiti dan gaya persembahan.

“Diakui sememangnya kumpulan Al-Maqari lebih pengalaman dan pentas persembahan mereka sebelum ini juga jauh lebih besar daripada kumpulan yang lain.

Tetapi dikenali dan mempunyai pengalaman tidak menjamin untuk mereka mara dengan mudah kerana ada kumpulan lain yang diberi markah lebih tinggi oleh juri tetap. Fahmi juga hanya bertindak sebagai hos semata-mata, dia bukannya peserta dan tidak mempengaruhi sebarang keputusan pihak produksi,” kata Nurul Ain.

Sementara itu, Pengurus Penjenamaan & Kajian Penonton TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, pihaknya tidak meletak sebarang sekatan kepada peserta kerana mahu penonton melihat kehebatan tahap marhaban di Malaysia

Ramai yang kata tidak adil kerana Al-Muqari lebih popular, tetapi tujuan kami membuka kepada semua orang yang berminat dan tiada sekatan untuk menjadi peserta pada musim pertama kerana tujuan mahu membawa marhaban ini jauh ke hadapan.

“Jika kami sekat mereka yang telah bergiat secara aktif untuk menjadi peserta, penonton tidak akan tahu tahap dan kualiti marhaban di Malaysia.

“Memang untuk musim pertama siapa sahaja boleh menyertai program ini jika mereka melepasi sesi uji bakat. Malah, disebabkan program marhaban satu yang sangat baru, kumpulan yang menyertai juga tidak cukup ramai.

Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana pertandingan marhaban diadakan. Insya-Allah saya yakin selepas ini ramai orang telah membuka mata betapa indahnya kesenian marhaban,” ujar Zulkarnaen.

Dalam pada itu, penyanyi Zizi Kirana yang dijemput sebagai juri jemputan turut merasakan program seumpama ini adalah sesuatu yang cukup positif.

Malah, ketika ditawarkan untuk menjadi juri jemputan Zizi cukup teruja kerana sedar masyarakat jarang didedahkan dengan kesenian seperti ini.

Jujur, ini kali pertama saya menjadi juri pertandingan marhaban. Marhaban ini berbeza daripada qasidah atau nasyid. Marhaban kalau yang asli hanyalah vokal semata-mata dan taranum yang disampai serta keharmonian bersama kumpulan.

“Jika sebelum ini kita selalu melihat warga emas sahaja yang menyertainya, hari ini saya terkejut ada yang muda dan ada yang tua dalam sebuah kumpulan.

Sebagai juri jemputan saya hanya menilai dari segi penampilan dan gaya persembahan selebihnya saya serahkan kepada juri tetap yang lebih pakar,” ulas Zizi.

Program Pentas Marhaban yang bersiaran selama lapan minggu bermula 18 November lalu menyaksikan dua kumpulan berentap pada setiap minggu.

Selain Fahmi, program Pentas Marhaban turut dihoskan pelakon, Syamsul Ghau Ghau dan diadili oleh dua juri tetap, Ustazah Asni Mansor serta Ustaz Zulhafis (Along Gambus) bersama juri jemputan.

Program yang mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan itu bersiaran secara langsung di TV AlHijrah pada setiap Sabtu, pukul 9 malam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok