Aksi terlebih manja Fasha, Wan Raja bikin netizen panas

AKSI terlajak romantik aktres berkaliber, Fasha Sandha bersama pelakon Wan Raja ketika penggambaran drama Malang Si Puteri teruk dikecam netizen.

Menerusi video di sebalik tabir yang dimuat naik Fasha dalam Instagram miliknya, pelakon berusia 39 tahun itu berkongsi beberapa adegan romantik apabila dipeluk dan didukung oleh Wan Raja yang memegang watak sebagai hero dalam drama tersebut.

“Tiada yang bertahan selamanya. Lakukan yang terbaik selagi kita punya masa,” tulis Fasha sambil berkongsi nama wataknya sebagai Suhaila atau Puteri disamping Wan Raja yang memegang peranan sebagai Arman.

Walaupun hanya sekadar lakonan, adegan romantik kedua-dua pelakon hebat itu mencetuskan rasa kurang senang netizen yang berpendapat babak sebegitu tidak sesuai untuk dipamerkan kerana masing-masing sudah pun berstatus isteri dan suami orang.

Malah, netizen juga tertanya-tanya penerimaan dan perasaan suami kepada Fasha iaitu pelakon, Aidil Aziz apabila melihat isterinya didukung dan dipeluk lelaki lain.

“Suami tak cemburu ke? Kita pula segan tengok,” komen seorang pengguna Instagram.

Cemburu nombor dua. Tak fikir ke halal haram? Dua-dua suami dengan isteri orang. Untung bagi laki orang pegang free of charges (percuma). Dunia akhir zaman,” tegur seorang lagi netizen.

“Kalau tak ada aksi dukung-dukung, peluk-peluk, watak tak menjadi ke?” soal seorang pengikutnya.

Difahamkan drama Malang Si Puteri terbitan rumah produksi Radius One yang  diarahkan oleh Uchee Fukada bakal ditayang di saluran Astro Ria tidak lama lagi.

Sebelum ini, Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan pernah menimbulkan rasa kurang senang peminatnya selepas berkongsi video berkasih sayang dengan suaminya dalam kolam renang.

Pengikutnya dalam media sosial menganggap konten sebegitu tidak sesuai untuk ditayangkan pada khalayak umum, selain menyifatkan Fasha tidak sensitif dan semakin melampau.

Dek kerana perkongsian itu juga, ada segelintir pengikutnya dalam Instagram mengambil keputusan untuk tidak lagi mengikuti akaun media sosial pelakon itu lagi (unfollow).

Bagaimanapun, Fasha mendedahkan akaun Instagramnya meraih 25,000 pengikut baharu selepas video berendam dalam jakuzi bersama suami tular dan dikecam ramai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok