Afdlin Shauki terajui FDAM, pulihkan kembali imej

SUTRADARA, Datuk Afdlin Shauki dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2025.

Pemilihan Afdlin berdasarkan undian majoriti ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Dwitahunan FDAM ke-25 di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang, semalam.

Mengulas mengenai pemilihannnya, Afdlin menyifatkan tanggungjawab Pengerusi FDAM sebagai tugas berat, namun teruja membawa pembaharuan kepada persatuan itu.

“Saya teruja bersama dengan rakan-rakan lain untuk membawa pembaharuan ini agar kami semua kembali bangga memegang kad keahlian FDAM,” katanya.

Dalam majlis tersebut, pelakon dan pengacara itu turut menyatakan hasrat membantu meningkatkan tahap profesionalisme ahli persatuan itu ke tahap lebih tinggi selain memulihkan kembali imej FDAM yang tercalar.

“Masalah FDAM tidak dihormati lagi yang mungkin dilakukan pihak sebelum ini, itu kita tolak ke tepi.

“Kita perlu menjenamakan semula FDAM agar ia dapat menjadi tonggak utama untuk pengarah di Malaysia.

Kalau nak jadi pengarah mesti kena ada FDAM dan mesti diiktiraf sebagai ahli FDAM,” katanya.

AFDLIN bersama barisan tulang belakang Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang bakal membawa pembaharuan dan membuat penjenamaan semula persatuan itu.

Menurut Afdlin lagi, penyertaan FDAM juga dibuka kepada pempengaruh digital agar mengambil peluang menimba ilmu dan pengalaman bersama FDAM serta ahli senior yang berpengalaman.

“Kita mendekati mereka kerana ketika ini dunia kandungan dikuasai mereka.

“Kita jangan sombong dan duduk dalam kepompong kita, sebaliknya mesti terbuka menerima kehadiran pembikin filem bebas tidak kira usia, bangsa mahupun agama.

“Kita harus sentiasa menyokong mereka agar kita dapat memperkasakan semula filem-filem Malaysia yang menjadi objektif utama,” ujarnya

Tambah penggiat seni berusia 52 tahun itu lagi, FDAM perlu sentiasa memikirkan manfaat persatuan itu buat ahli.

“Apabila ahli membayar yuran, FDAM mesti memikirkan apa persatuan akan buat untuk ahli.

“Macam mana persatuan ini boleh menjaga ahli? FDAM mesti menjaga sutradara kita.

“Kalau ada ahli melakukan sesuatu yang baik dan membanggakan, kita semua meski sokong dan kalau buat masalah, kita tegur. Saya rasa kita perlu satu suara,” katanya.

Selain Afdlin, sembilan jawatan lain turut dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi disandang Khir Mohd Noor, Setiausaha (Haji Mohamad Zaini Hassan), Timbalan Setiausaha (Don Hoe), Bendahari (Loganathan Kanabathy) dan Timbalan Bendahari (Terry Chan).

Empat jawatan Ahli Jawatankuasa pula disandang Mohamed Faizal Syed Ariff, Elrafaei Sapi, Faisal Chal Ahmad dan Muhammad Aiman Mohammad Zaki. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok