Aeydan penyambung legasi Rabbani

DARAH seni dalam diri enam remaja yang menggelarkan gabungan mereka sebagai Aeydan sememangnya deras mengalir.

Sebagai penyambung legasi kepada  kumpulan Rabbani, mereka mengakui sering dibayangi populariti senior yang pernah mencetuskan fenomena suatu masa dulu.

Masih terlalu hijau dalam mengatur perjalanan di arena seni nasyid, enam sekawan itu mengakui persepsi negatif yang turut datang menerjah sebagai satu ujian.

Didakwa tumpang nama

Begitupun, anggotanya, Mohd. Izwan Izzudin berkata, mereka sudah lali berdepan sikap skeptikal segelintir individu yang mendakwa Aeydan sekadar menumpang nama Rabbani.

Kalau sebut sebagai pengganti Rabbani, itu satu frasa yang cukup besar buat kami. Jadi memang boleh wujud pelbagai persepsi sama ada negatif atau positif.

“Ada orang kata kami meniru otai, pakai kabel serta semua yang bersifat tanggapan sedangkan hakikatnya suka atau tidak memang itu bapa kami dan kami anak-anak anggota Rabbani.

Jika ada persamaan memang tak boleh lari kerana Aeydan membesar di pentas yang kemudian mencetuskan ilham untuk kami memperjuangkan pula genre world music,” katanya.

Ulas putera kepada Azadan Abdul Aziz yang juga ketua kumpulan Rabbani, mereka bersedia menghadapi segala kemungkinan sebaik single sulung berjudul Bintang dilancarkan bulan lalu.

Aeydan mempertaruhkan single Bintang yang menggabungkan elemen nasyid dan K-Pop.

Katanya, video muzik (MV) lagu yang mendapat sentuhan kreatif dan terbitan bersama Daqmie serta Wan Saleh itu diiringi tarian ringan selain menerima suntikan rentak muzik ala K-Pop.

“Ini adalah percubaan berani. Apabila kami cuba mengabungkan K-Pop dengan irama nasyid, selain diiringi tarian tentu kami bersedia berdepan kritikan.

Hakikatnya, konsep pergerakan ketika menyanyi ini sebenarnya sudah diterapkan sejak kami menyertai nasyid pada zaman sekolah lagi dan kali ini kami komersialkan saja.

“Dari segi lagu, elemen K-Pop juga mengikuti aliran semasa sejajar perubahan genre nasyid kontemporari dalam arena world music era kini,” katanya.

Idea Ustaz Asri

Selain Mohd. Izwan, Aeydan turut membariskan anak Allahyarham Asri Ibrahim, Muhammad Ilham Fikri selaku vokalis utama; selain Muhammad Farhan Islah dan Mohammad Fardeen Imran (anak Rithauddin), Muhammad Arif Haikal (anak Rahmat) serta Muhammad Alif Ihsan (anak Nazrul).

Sebelum ini kumpulan yang tampil dengan genre world music dan lagu kerohanian pada asalnya digelar ‘Rabbani Junior’.

Sementara itu, mengenai idea penubuhan kumpulan terbabit, Azadan, berkata sebelum ini, Aeydan dikenali sebagai Rabbani Junior dan pemergian Allahyarham Ustaz Asri pada 2009 telah mencetuskan idea untuk mencari pelapis.

Ketika itu masing-masing masih kecil dan bersekolah rendah, tetapi kami ada perkenalkan mereka kepada media, namun apabila memasuki sekolah menengah ada yang masuk asrama.

“Selepas tamat universiti mereka aktif semula. Sekiranya jadual kami padat, kita cadangkan nama Aeydan kepada penganjur.

“Mereka mempunyai keunikan tersendiri selain sudah mula meraih perhatian pendengar selain rancak memenuhi undangan pentas,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok