DALAM dunia realiti tidak mustahil hubungan dua insan tanpa pertalian darah lebih utuh berbanding ikatan mereka yang mempunyai hubungan darah.
Itu yang ditonjolkan dalam filem terbitan syarikat tempatan berjudul Abang Adik lakonan bintang Taiwan, Wu Kang-ren dan bintang Malaysia, Jack Tan.
Berkisar mengenai dua anak yatim yang membesar bersama dalam situasi sukar tanpa keluarga dan kad pengenalan diri, demi kelangsungan hidup, mereka perlu cekal mendepani sepak terajang kehidupan.
Singkap episod gelap
Apatah lagi Abang lakonan Kang-ren pula berstatus orang kelainan upaya (pekak) yang lebih teruk dugaan dilalui kerana langsung tiada dokumen membuktikan dirinya memang anak tempatan.
Manakala Adik (Jack) pula digambarkan lebih keras hati selain tidak kisah terbabit dalam kegiatan haram untuk mendapatkan duit tambahan disebabkan kerja di pasar pagi sekadar dapat menampung belanja harian.
Berlatarkan Pasar Pudu di tengah-tengah ibu negara, mereka adakalanya terpaksa menyorok seperti pendatang asing disebabkan takut ditahan pihak berkuasa.
Senario yang mungkin tidak disedari ramai, hakikatnya mesej diketengahkan Jin Ong selaku penerbit bersama merangkap pengarah filem pecah panggung itu menyingkap episod gelap dilalui segelintir insan.
Malah, dua individu itu juga digambarkan sama seperti adik-beradik lain yang bertelagah, berbeza pendapat dan ada kalanya berjauh hati sehingga merajuk berhari-hari.
Lakon layar luar biasa
Tidak hairan, garapan cemerlang yang dekat di hati penonton membolehkan filem tersebut meraih RM6.5 juta dalam tempoh 10 hari tayangan di Taiwan, manakala bagi pawagam tempatan pula kutipan mencecah RM1.7 juta dalam tempoh seminggu.
Dari segi jalan cerita, Abang Adik boleh disifatkan sebagai filem tempatan terbaik sebelum 2023 menutup tirai kalender.
Lakon layar yang berkelas antarabangsa ditambah dengan terjemahan karakter luar biasa daripada dua pemain utama, Kang-ren dan Jack Tan.
Biarpun mendedahkan kisah yang agak tabu iaitu kepincangan birokrasi dalam melancarkan urusan untuk rakyat, hakikatnya sifat toleransi sesama anggota komuniti penduduk berbilang bangsa di Malaysia disuntik begitu kuat dalam Abang Adik.
Filem ini juga adalah lontaran suara melambangkan kekuatan semangat rakyat yang kuat bekerja serta cintakan negara biarpun pada masa sama, hidup mereka dihimpit kesukaran.
Emosi khalayak juga terikut-ikut dibuai syahdu apabila dalam satu babak si abang melakukan sesuatu yang mengubah kehidupan mereka berdua.
Padat tanpa babak meleret-leret, filem yang mendapat lebih 10 pengiktirafan termasuk Pelakon Terbaik di peringkat Asia yang diraih Kang-ren menunjukkan Abang Adik punya elemen tarikan.
Paling diingati tentu saja babak memecahkan telur rebus di dahi yang secara simboliknya sebagai makanan mampu milik semua golongan terutama individu susah seperti mereka.
Abang Adik juga terkandung sinematografi indah bertepatan dengan elemen ‘dark’ dipamerkan menerusi Pasar Pudu yang tersimpan 1,000 rahsia.