Abang Adik luar biasa! – Wu Kang

NAMA Wu Kang-ren tidak asing bagi peminat filem Hong Kong apabila sejak 16 tahun lalu lakonan aktor tinggi lampai itu dapat disaksikan dalam beberapa naskhah pecah panggung.

Melihat kredibiliti aktor berusia 41 tahun itu, tidak hairan penerbit dan pengarah filem tempatan berjudul Abang Adik turut ‘menempahnya’ sebagai penggalas watak utama kisah yang mengambil latar di kawasan Pudu, Kuala Lumpur.

Mengakui teruja diberi kepercayaan membawakan watak lelaki pekak, tawaran yang diajukan kepada Kang-ren terus disambar tanpa perlu berfikir panjang.

“Sebelum ini saya berpeluang menjiwai pelbagai watak berat, tetapi sebagai lelaki kurang pendengaran tentu saja peranan sebagai Abang sangat luar biasa.

Tanpa dialog saya perlu bermain dengan emosi bagi menghidupkan lagi perwatakan serta mainan dalaman seorang individu berhadapan kehidupan sukar tanpa kad pengenalan.

“Produksi ini pula merupakan syarikat Malaysia yang juga antara tarikan kerana saya pernah menjalani penggambaran dua filem lain sebelum Covid-19 menyerang dunia,” katanya yang diterbangkan ke Kuala Lumpur baru-baru ini bagi tayangan perdana filem tersebut.

 

FILEM Abang Adik buat hati pelakon Wu Kang semakin dekat dengan Malaysia.

Bintang yang meraih trofi pertama pada 2012 sebagai Aktor Terbaik di Asian Televisyen Award itu menghadiri tayangan gala filem arahan Lay Jin Ong bersama barisan pelakon lain termasuk gandingan utamanya, Jack Tan.

Tampil berbeza daripada filem yang menunjukkan kulitnya kasar serta gelap, akui Kang-ren, dia sengaja menurunkan berat badan serta menghitamkan kulit di bawah terik matahari bagi mendapatkan fizikal pekerja pasar.

Sebenarnya lebih tiga bulan saya menyediakan diri untuk filem ini terutama mengawal pemakanan sehingga beberapa hari menjelang penggambaran saya langsung tidak menjamah makanan untuk kurus.

“Apabila sampai di sini pula kami dibawa meninjau Pasar Pudu iaitu latar filem ini yang membuka mata saya agar kelihatan seperti mereka yang berhempas-pulas mencari rezeki di tempat itu.

Bukan hanya belajar memotong ayam, saya gunakan masa terluang dengan berjemur ketika matahari naik sehingga kulit menggelupas dan hitam semula jadi.

“Nampaknya pengorbanan menyakitkan itu berjaya apabila saya dan Jack dimarahi mak cik pencuci kerana menggunakan tandas di situ selepas dia sangka kami adalah pekerja pasar,” katanya sambil tertawa mengenang penggambaran yang diadakan di Pasar Pudu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok