5 bintang K-Pop mangsa ‘skodeng’ netizen

KETAKSUBAN peminat yang sukakan penampilan dan perwatakan selebriti kesayangan sehingga sanggup meniru gaya idola bukan perkara ganjil.

Namun, ada dalam kalangan penggemar terlampau terikut-ikut emosi dengan menganggap artis dambaan sebagai milik mutlak mereka.

Apabila emosi bercampur isu mental, individu yang mempunyai masalah dalaman sebegitu boleh bertindak keterlaluan dengan mengekori atau menceroboh privasi artis pujaan mereka.

Dalam dunia K-Pop, penggemar tegar yang obses sehingga sanggup menjadi penghendap atau ‘stalker’ dipanggil ‘sasaeng’.

Kali ini, Daebak menampilkan beberapa selebriti K-Pop yang berhadapan mimpi ngeri sepanjang bergelar anak seni gara-gara diganggu penghendap.

EXO

GANAS! Itu ungkapan sesuai untuk menggambarkan peminat yang hampir menculik ahli kumpulan EXO suatu ketika dahulu.

Dalam insiden tersebut beberapa peminat menyewa sebuah kenderaan yang seakan-akan kereta rasmi kumpulan berkumpulan.

Mereka meletakkan van tersebut berhampiran dengan tempat EXO sedang bekerja.

Setelah selesai bertugas, mereka menuju ke arah van yang salah, namun nasib baik pengurus kumpulan tersebut bertindak pantas.

Kesemua ahli EXO tidak dibenarkan menaiki van berkenaan kerana kelihatan mencurigakan. Akhirnya rancangan penculikan gagal.

Yunho

PADA 2006, semasa kumpulan DBSK melancarkan album ketiga, seorang wanita berusia 20-an menghampiri penyanyi Yunho dan memberikan minuman oren sebagai satu penghormatan.

Namun, insiden tersebut bertukar menjadi episod gelap apabila ahli kumpulan TVXQ itu dikejarkan ke hospital selepas muntah darah.

Hasil siasatan mendapati minuman tersebut mengandungi sianoakrilat atau gam gajah.

Selepas insiden berkenaan, Yunho dihantui trauma apabila didekati orang asing sehingga berhasrat mahu meninggalkan dunia seni.

Setelah bertahun-tahun, pemilik nama lengkap Jung Yun-ho itu akhirnya berjaya mengatasi ketakutan hasil sokongan teman rapat iaitu Changmin dan ahli kumpulan Super Junior.

Heechul

PENYANYI Heechul pernah mengalami kemalangan jalan raya disebabkan perbuatan peminat.

Suatu hari, dia menyedari seorang peminat mengekorinya di jalan raya.

Enggan terus diekori, ahli kumpulan Super Junior itu memandu selaju mungkin, kerap mengubah lorong dan memasuki jalan berbeza tetapi akhirnya bertembung dengan kereta lain.

Akibatnya, dia mengalami patah kaki dan perlukan masa untuk kembali aktif di atas pentas.

BTS

Umum mengetahui, kumpulan BTS sangat popular bukan sahaja di Korea Selatan bahkan hampir seluruh dunia.

Malangnya, populariti tersebut turut mendatangkan kesan apabila kehidupan peribadi kumpulan lelaki itu terganggu.

Semasa menjalani penggambaran di Sweden dan berhenti di sebuah kafe untuk berehat, sekumpulan peminat datang menyerbu mereka sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

Taecyeon

NGERI! Penyanyi Taecyeon pernah menerima sepucuk surat daripada peminat yang ditulis dengan darah haid berserta beberapa helai bulu kemaluan.

Tidak boleh dibayangkan perasaan ahli kumpulan 2PM itu apabila menerima kiriman menjijikkan tersebut.

Dalam surat berkenaan, peminat itu mengaku, darah dan bulu kemaluan adalah miliknya.

Netizen bagaimanapun tidak mempercayai dakwaan peminat dan menganggap semua sekadar alasan mahukan perhatian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok