4 bintang kesayangan Korea Selatan

BUKANLAH satu hal mengejutkan lagi industri hiburan Korea Selatan sarat dengan artis yang terkenal dengan taring dan bisa masing-masing baik dari segi lakonan, nyanyian mahupun pengacaraan.

Dengan deretan selebriti berbakat besar, ada beberapa nama yang sentiasa mendapat perhatian khayalak.

Berdasarkan tinjauan Daily Sports Korea serta Korea Public Opinion and Reputation Research Institute yang dilakukan terhadap lebih 20,000 responden berusia 18 tahun ke atas, Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti K-Pop paling digemari masyarakat Korea Selatan.

Yoo Jae-suk

Siapa sangka, wajah pengacara yang sentiasa menghiasi kaca televisyen Korea Selatan menerusi rancangan hiburan ini berjaya mengungguli tempat pertama dalam undian borang kaji selidik tersebut.

Jae-suk memiliki populariti dan pengaruh yang sangat besar malah boleh dikatakan namanya sentiasa menjadi sebutan khalayak kerana tingkah lakunya yang sentiasa mencuit hati.

Bayangkan, Jae-suk sentiasa berada di posisi teratas selama enam tahun berturut-turut undian ini dijalankan dengan undian hampir 90 peratus.

Lebih menarik, tiada siapa dapat menyangkal fakta bahawa pengacara berusia 51 tahun itu sememangnya popular dan sentiasa disenangi ramai selain bebas kontroversi.

IU


Siapa tidak kenal dengan penyanyi, IU. Kredibilitinya dalam dunia hiburan Korea Selatan tidak dapat disangkal lagi.

Karier nyanyian dan lakonannya sentiasa mendapat tempat di hati peminat bahkan dihujani dengan pelbagai pujian menggunung.

Lebih menarik, suaranya yang merdu seiring visual yang ditampilkan setiap kali membuat persembahan berjaya membuat penonton kecanduan sekali gus mengangkat dirinya sebagai ikon ‘Korean Wave’.

Kendati meraih pencapaian luar biasa baik dalam mahupun luar negara, keperibadian penghibur berusia 30 tahun itu sentiasa membumi malah ramah dengan sesiapa sahaja dia bekerja.

BTS

Seterusnya BTS, barangkali kumpulan ini tidak perlukan pengenalan panjang kerana seantero dunia menggilai mereka.

Pencapaian BTS selayaknya diberi pujian. Mereka bukan sahaja mendominasi dunia hiburan Korea bahkan berjaya menjadi superstar antarabangsa dengan deretan lagu hits.

Bukan kumpulan itu sahaja, setiap anggota juga mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dan mempunyai jutaan pengikut dalam media sosial. Pendek kata, apa sahaja dilakukan ahli kumpulan ini sentiasa sohor kini.

Lebih membanggakan, setiap kali melancarkan lagu dan video muzik baharu pasti meraih sambutan memberangsangkan dengan jutaan tontonan sekali gus tular di pelbagai platform termasuk TikTok dan Instagram.

Nam Goong-min

Aktor Nam Goong-min sememangnya terkenal dengan kualiti lakonannya yang mampu membuat penonton terpukau.

Disua dengan pelbagai watak, segalanya digalas dengan cemerlang bahkan berjaya merangkul pelbagai anugerah termasuklah pelakon terbaik.

Kesungguhan aktor tampan itu menghidupkan watak meskipun sekadar peranan sampingan sewajarnya dijadikan contoh oleh pelakon baharu.

Sentiasa merendah diri selain bijak mengatur kerjaya membuatkan dirinya dipandang tinggi dan cukup dihormati dalam industri seni negara itu.

Dek kerana kualiti itu, tidak hairanlah mengapa dia disayangi ramai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok