Zionis ada ‘skin bank’ – Uyaina Arshad

PELAKON dan pengacara, Uyaina Arshad mendesak golongan yang masih menyokong tindakan kejam Israel terhadap rakyat Palestin agar melihat kembali jenayah dilakukan pihak terbabit.

Uyaina turut meluahkan rasa kecewa terhadap individu yang masih bersifat neutral dan enggan bersuara bagi memperjuangkan hak penduduk Gaza walaupun pelbagai video kekejaman Zionis dipaparkan dalam semua platform media sosial.

“Buat orang Malaysia yang menyokong Israel atau pun yang neutral, video ni adalah untuk kau. Kau tahu kan yang Malaysia pun baru saja merasa 66 tahun kemerdekaan selepas dijajah British.

“Tahu tak betapa susahnya nenek moyang kita perjuangkan kemanisan kemerdekaan. Sekarang Israel itu penjajah, sama seperti setiap negara yang dijajah kita nak kemerdekaan, kebebasan. Begitu juga Palestin.

“Saya tak kutuk Hamas. Hamas itu pejuang tanah air mereka yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan Palestin. Demografi mungkin tak sama, tapi konteks dia sama.

“Kita dengan Palestin sama, beza cuma kita pernah dijajah tapi mereka sedang dijajah. Dahlah dijajah, hak kemanusiaan asas pun tak bagi, punca air disimen, makanan tak cukup, nak kibar bendera sendiri pun satu jenayah,” katanya dalam hantaran video dalam Instagram.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu dengan lantang mengingatkan orang ramai mengenai tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Zionis yang masih menyeksa korban walaupun sudah tidak bernyawa.

“Belum cakap lagi bentuk jenayah Israel terhadap Palestin sampai subuh esok tak habis. Mereka tu ada ‘skin bank’ yang menyimpan kulit orang Palestin untuk kegunaan mereka,” katanya.

Pada masa sama, pemilik nama lengkap Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 30, turut meminta masyarakat Malaysia menyemak kembali sejarah yang menunjukkan banyak nyawa terkorban akibat perjuangan menentang penjajah suatu ketika dulu.

“Sebelum kamu nak sokong Israel, atau jadi neutral, tengok balik sejarah negara sendiri betapa teruknya orang Melayu ditindas, orang Cina dihina penjajah Jepun.

“Tak kisah kita ini orang Melayu ke, Cina ke, India ke, Bumiputera ke, penjajah tetap penjajah dan perjuangan Palestin ini adalah perjuangan kita bangsa yang pernah dijajah.

“Selagi Palestin tak bebas, kita semua tak bebas,” jelasnya dengan penuh tegas.

Begitupun, semakan menunjukkan perkongsian itu telah dipadam pihak Instagram namun butiran penjelasannya masih dapat diikuti dalam aplikasi X.

Terbaru kumpulan Hamas menyatakan tentera Israel melancarkan pengeboman tanpa henti di beberapa hospital di utara Semenanjung Gaza sejurus selepas talian telefon dan internet diputuskan, kelmarin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok