BAHAGIA dilamun cinta, itu yang dilalui Wafariena kini malah tak mampu menyembunyikan rasa itu apabila jelas terpancar di wajahnya.
Akui aktres berusia 28 tahun itu, dia kini menjalin hubungan istimewa dengan jejaka yang juga ahli perniagaan.
Bagaimanapun, dia yang mula mencipta nama menerusi drama 7 Hari Mencintaiku memilih untuk menyimpan kemas identiti si dia yang berjaya mencuri hatinya.
“Saya berkawan dengan semua orang, cuma sekarang saya rapat dengan seorang lelaki yang bukan orang industri seni, sebaliknya lelaki biasa dan berkecimpung dalam dunia perniagaan.
“Buat masa ini, saya juga tak dapat kongsikan lebih lanjut mengenai jejaka yang sedang saya kenali itu, apabila dah nak kahwin baru saya akan perkenalkan kepada umum.
“Kami sudah berkawan lebih setahun dan masing-masing serius dengan hubungan ini. Insya-Allah jika jodoh kami panjang, maka hubungan ini akan dibawa ke fasa seterusnya,” katanya tersipu malu.
Ditanya sama ada pernikahan dengan lelaki tersebut bakal berlangsung dalam waktu terdekat, aktres asal Pulau Pinang menggeleng kepala seraya berkata menyerahkan isu jodoh kepada Yang Maha Esa.
“Setiap wanita ingin melalui fasa bujang ke alam rumah tangga, namun apa yang boleh saya katakan, sasaran untuk berkahwin itu belum ada lagi.
“Perihal jodoh ini susah untuk diulas lanjut kerana perkara tersebut bukan di bawah kawalan kita. Jadi, saya serahkan perkara ini kepada Allah kerana Dialah sebaik-baik perancang.
“Saya sejujurnya agak kekok untuk berkongsi hal peribadi kerana merasakan biarlah hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu.
“Risau banyak kemungkinan boleh terjadi, cukuplah setakat ini saya kongsikan,” ujarnya yang membintangi lebih 30 drama sepanjang lima tahun mencanai bakat sebagai pelakon.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.