[VIDEO] Aaron Aziz minta bertenang sekolah anak terima ancaman bom

PELAKON Datuk Aaron Aziz bergegas mengambil anaknya di sekolah selepas dimaklumkan terdapat ancaman bom di pusat pendidikan berkenaan.

Jelas pemilik nama penuh Aaron Mustapha Aziz itu, keadaan menjadi agak huru-hara apabila ramai ibu bapa panik sehingga mahu segera mengambil anak mereka.

“Hari ini (semalam) secara tiba-tiba ada ancaman bom. Sembilan sekolah terima ancaman bom kalau tak salah saya.

“Kami disuruh pihak sekolah untuk ambil anak-anak dan sekolah anak saya yang terletak di Setia Alam adalah satu daripadanya.

“Jadi sekarang tengah huru hara, keluarga semua tengah kelam-kabut. Saya faham sebab situasi ini mencetuskan rasa panik,” katanya menerusi hantaran video dalam TikTok, semalam.

Begitupun, pelakon filem Ombak Rindu itu menasihatkan ibu bapa pelajar lain supaya sentiasa bertenang selain mengikut arahan yang diberikan.

Menurutnya, tindakan segelintir penjaga yang panik menyukarkan lagi semua pihak dalam memastikan keselamatan anak-anak terjamin.

“Tapi bagaimanapun bila berhadapan dengan situasi begini, kekal tenang, jangan jadi kancheong (cemas), ikut arahan.

“Kita tak boleh panik, macam mana mereka (sekolah) nak kawal keadaan yang selamat untuk semua termasuk keluarga, pelajar dan cikgu,” katanya.

Menerusi kapsyen dalam hantaran tersebut juga, aktor berusia 47 tahun itu sempat memberi apresiasi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas dalam berdepan situasi berkenaan.

“Terbaik tindakan PDRM cepat dan profesional dalam kecemasan, kalau boleh jangan panik

“Setakat ini sekolah Dahlia masih tidak menerima email susulan tetapi sekolah telah ambil langkah awal. Saya suka reaksi yang pantas dari sekolah ini.

“Kekal tenang dan ikut protokol. Kalau satu huru-hara, lain akan ikut. Ingat orang lain pun ada anak anak,” ujarnya panjang lebar.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan terdapat beberapa buah sekolah antarabangsa di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menerima ancaman bom.

Terdapat tujuh sekolah antarabangsa di Selangor di daerah Petaling Jaya, Shah Alam, Kajang, Subang Jaya, dan Kuala Langat terima ancaman itu.

Difahamkan, ancaman bom tersebut diterima organisasi sekolah antarabangsa melalui e-mel tanpa nama antara pukul 9.30 pagi dan 10.15 pagi Selasa lepas. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Aaron Aziz (@aarondwiaziz)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok