Usik Ruhainies penyondol, Janna Nick dikecam netizen

SEKALI lagi pengacara Janna Nick mengundang kritikan apabila mengaitkan pelakon Ruhaines yang hadir mempromosikan produk penaja program Famili Duo musim ketiga (FD3), malam ini dengan isu penyondol.

Biarpun sekadar gurauan bagi menghangatkan suasana ketika memperkenalkan aktres tersebut, perkataan itu disifatkan netizen kurang sesuai apatah lagi program itu bersiaran secara langsung.

“Cantik malam ini. Datang sini untuk apa, nak menyondol sesiapa ke?” katanya ketika sesi wawancara bersama pelakon drama Bintang itu.

Malah, Janna yang mengacarakan program pertandingan realiti itu bersama Izzue Islam dilihat selamba mengusik pengasas produk yang diwakili Ruhainies.

“Ini skandal Ruhainies ke?” katanya bersahaja merujuk kepada lelaki yang duduk di sebelah aktres terbabit.

Biarpun pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, itu memahami Janna hanya berseloroh, rata-rata penonton tidak dapat menerima perkataan yang disifatkan kasar itu dinormalisasikan dalam program siaran langsung.

Apatah lagi rancangan hiburan terbitan TV3 itu ditonton seisi keluarga termasuk kanak-kanak.

“‘Annoying’ (menjengkelkan) Janna jadi pengacara. Jangan terlalu mencuba untuk jadi pengacara yang menghiburkan dengan kata-kata kurang sesuai.

“Contohnya tadi penyondol. Program Famili Duo untuk tontonan umum, bukan tontonan geng memondan,” kata netizen dalam aplikasi X.

Pada minggu terawal FD3, Janna atau Nurul Jannah Muner dikritik apabila menyindir program All Star Gegar Vaganza (GV10) yang kemudian dikatakan hanya mengikut skrip diberikan penerbit.

FD3 yang bermula sejak 15 Oktober lalu disertai enam pasangan duo yang mempunyai pertalian saudara atau suami isteri dengan menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 untuk juara keseluruhan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok