TINDAKAN isteri kepada pelawak Shuib, Watie Hanifiah menutup bahagian perut dengan sejambak bunga mencetuskan spekulasi wanita itu kini hamil zuriat pertama.
Lebih menguatkan tekaan peminat apabila video pendek dikongsikan penyampai radio terbabit dalam Instagram berlatarkan lagu berjudul Nanti Kita Seperti Ini yang berkisarkan kehidupan bersama insan tercinta sehingga ke akhir usia.
Dendangan syahdu band indie asal Lampung, Indonesia itu turut menyelitkan lirik mengenai panggilan bahagia bergelar ibu dan ayah.
Dalam hantaran berkenaan, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 23 Jun lalu saling berpelukan seraya mengabadikan gambar berdua seperti kebiasaan dilakukan sebelum ini.
Cuma yang menarik perhatian netizen adalah tindakan ahli perniagaan terbabit apabila didakwa seolah-olah mahu menyorokkan ‘baby bump’ daripada dikesan orang ramai.
Mereka juga seakan meraikan detik istimewa melihatkan jambangan ros merah di tangan Watie atau nama lengkapnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35.
Pada bahagian belakang mereka pula, kelihatan susunan meja untuk menikmati makan malam berdua dengan lampu hiasan yang menaikkan nuansa romantis.
Ruangan komen menunjukkan ramai teruja dengan perkembangan tersebut selain mendoakan pasangan terbabit sekiranya andaian kehamilan Watie menjadi kenyataan.
“Nampak macam ‘baby bump’ je. Doa baik-baik,” kata seorang netizen
“Ada berita baik ke tu?” luah seorang pengguna laman sosial lain.
“Lagu yang membawa maksud indah,” tulis seorang lagi pengikut.
Sebelum ini ibu Shuib, Salamiah Jalani pernah meninggalkan komen kepada menantunya itu supaya memaklumkan keputusan sebaik pulang dari hospital swasta.
Namun, dia tidak menyatakan perincian lain manakala Shuib serta Watie pula dilihat lebih selesa membiarkan perkara tersebut menjadi tanda tanya.
Begitupun, pasangan sensasi yang kini masih bercuti di Sandakan, Sabah belum memberikan maklum balas mengenai spekulasi tersebut.
Pemergian mereka ke Negeri di Bawah Bayu itu diperkatakan peminat lain yang menolak khabar Watie hamil kerana bakal ibu tidak digalakkan menaiki pesawat pada trimester pertama.
Hakikatny, ini bukan kali pertama Watie didakwa hamil kerana sebulan selepas berkahwin dia pernah dikatakan sudah seperti nampak petanda sedang mengandung.
Sebelum ini, Shuib mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011, namun, Allahyarham meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2. – HIBGLAM